HANGZHOU, 12 MEI – Merentasi pelbagai sektor, syarikat-syarikat China menjadikan inovasi teknologi yang bersifat inklusif dan dipacu sendiri sebagai usaha bersama dalam membina jenama globalnya.
“Teknologi harus menjadi kemudahan awam yang boleh diakses oleh setiap individu dan berpatutan untuk setiap perniagaan kecil,” kata Wang Jing, pengurus besar hal ehwal awam di Alibaba Group, semasa Persidangan Moganshan Jenama Dunia 2025.
Diadakan dari 9 hingga 11 Mei di Wilayah Zhejiang, timur China, persidangan dengan tema Jenama Membawa Masa Depan Lebih Baik untuk Dunia bertujuan mewujudkan suatu platform untuk kerjasama global, pembangunan bersama dan manfaat bersama.

29 April lalu, Alibaba melancarkan Qwen3, model terbaharu model bahasa besar atau large language model sumber terbukanya.
Semua model Qwen3 tersedia secara percuma kepada pembangun di seluruh dunia, menekankan komitmen syarikat terhadap inovasi inklusif dalam ruang kecerdasan buatan (AI).
“Sehingga akhir Mac, muat turun model Qwen pada platform AI kolaboratif, Hugging Face, telah melepasi 200 juta, menyumbang lebih daripada 20 peratus daripada semua muat turun model,” kata Wang. “Di sebalik lonjakan ini adalah peningkatan pengaruh global teknologi dari China dalam landskap AI.”
Malah anjing robotik juga semakin meningkat bukan hanya dari segi kelajuan dan ketangkasan, tetapi dalam menjelmakan visi teknologi yang direka untuk berkhidmat kepada semua.
Di DEEP Robotics, visi ‘AI untuk Semua’ menjadi kenyataan melalui mesin berkaki empat tersebut.
Di bawah inisiatif ‘AI+’, syarikat yang berpangkalan di Hangzhou itu menggabungkan sistem latihan perisian dengan set data yang besar untuk membolehkan pembelajaran autonomi oleh robot berkaki empat.

Dipertingkatkan dengan algoritma tersendiri, robot tersebut kini boleh menavigasi persekitaran yang kompleks, menyesuaikan diri dengan rupa bumi yang tidak berstruktur dan menyokong pasukan penyelamat dengan memasuki zon bencana dengan pantas dan menyampaikan data masa nyata untuk membuat keputusan.
“Robot berkuasa AI boleh membantu manusia bekerja dengan lebih selamat dan cekap dalam pelbagai senario contohnya daripada pemeriksaan kemudahan kuasa kepada tindak balas kecemasan,” kata Meng Yuan, pengurus media di DEEP Robotics.
“Ia dibina untuk menjalankan tugas yang berulang dan berisiko tinggi, dan mungkin suatu hari nanti membantu dengan keperluan harian di rumah,” tambah Meng.
Jejak global syarikat tersebut kini menembusi Jepun, Republik Korea, Singapura, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Utara, dengan permintaan antarabangsa yang meningkat.
“Di Singapura, anjing robot kami digunakan untuk memeriksa terowong utiliti bawah tanah, mengurangkan kos buruh dan meningkatkan kecekapan bandar,” kata Meng.
Sementara itu, di kawasan perindustrian tekstil Zhejiang, syarikat Hangzhou Hangmin Damei Dyeing and Finishing, pembekal fabrik kepada jenama fesyen global termasuk Zara, sedang bergelut dengan halangan perdagangan hijau yang semakin meningkat.
Berhadapan dengan pelbagai undang-undang melibatkan dasar karbon dan peralihan tenaga bersih, syarikat itu telah menyertai pakatan baharu yang menjadikan pematuhan undang-undang sebagai kelebihan untuk berdaya saing.
Inisiatif Green Energy To yang diketuai oleh Syarikat Bekalan Kuasa Xiaoshan dengan kerjasama pelbagai pihak, kini menawarkan penyelesaian serampang tiga mata iaitu panduan dasar, perkhidmatan pengurangan karbon dan sokongan kewangan yang disesuaikan.
Dengan perkhidmatan penyelesaian tersebut, syarikat Hangmin Damei berjaya menganalisis jejak karbon merentasi lapan barisan pengeluarannya, membina platform pemantauan digital dan kini boleh menjana laporan kecekapan tenaga secara bulanan.
Dilengkapi dengan data karbon masa nyata dan penyelesaian karbon rendah pintar, syarikat itu juga mengeksport ke Kesatuan Eropah di bawah label baharu, Green Energy To sekali gus melambangkan kisah jenama China yang sedang muncul.
“Memandangkan perdagangan global mengalami transformasi hijau, inisiatif Green Energy To bertujuan memberi pasport hijau kepada pengeksport China untuk menavigasi kenaikan tarif berasaskan karbon,” kata Lai Hanbin, timbalan pengarah jabatan pemasaran di Syarikat Bekalan Kuasa Xiaoshan. Lai berkhidmat sebagai ‘jurutera sifar karbon’ untuk Sukan Asia ke-19 yang diadakan di Hangzhou pada September 2023.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk orang China mula benar-benar menghargai jenama mereka sendiri,” kata Michael Levitt, pemenang Nobel dalam bidang kimia 2013 dan naib pengerusi Word Laureate Association. “Saya percaya bahawa jenama China akan tersebar ke seluruh dunia.” – Xinhua