PARIS, 30 Mac – Uji kaji menggunakan bantuan video yang memakan diri bagi Perancis ketika menentang Sepanyol mencetuskan pandangan bercampur baur semalam menerima pujian sebagai perlawanan paling adil tetapi dikritik oleh sebahagian kerana membunuh persembahan.
Perancis tewas 2-0 di Paris Selasa lalu dalam perlawanan yang memberikan manfaat dua kali kepada Sepanyol menerusi keputusan pengadil pembantu video.
Satu gol menentang Sepanyol dibatalkan selepas dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid dalam satu konsultasi menggunakan video dan satu gol dari Sepanyol juga dibatalkan oleh pengadil kerana ofsaid tetapi diterbalikkan dan dikira gol selepas dikaji semula.
Bagi Perancis, yang memutuskan untuk menggunakan pembantu video buat kali pertama pada satu perlawanan persahabatan, hasilnya amat pahit walaupun peminat dan pemain menyatakan penggunaan video itu betul.
“Jika ia membenarkan anda untuk membetulkan kesilapan, sama seperti kesnya di sini, walaupun ia menentang kami, bagi saya ia bagus untuk keadilan dalam sukan,” kata jurulatih Perancis Didier Deschamps.


Rakan sejawatan dari Sepanyol Julen Lopetegui tidak menentang bagaimana keputusan itu dibuat tetapi hanya berkata: “Pengadilan itu menyelesaikan dua tindakan dengan adil,” katanya.
Penyerang Perancis Antoine Griezmann membuat tandukan dalam apa yang dilihat jaringan pembukaan di Stade de France sejurus selepas separuh masa pertama, mencetuskan keceriaan kepada penonton dan di atas padang selepas Perancis menguasai permainan sepanjang separuh masa pertama.
Pengadil kemudian mengadakan perbincangan dengan pembantu video dan sekitar 30 saat kemudian jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid. Keputusan diterbalikkan apabila Gerard Deulofeu menjaringkan gol kedua Sepanyol 12 minit sebelum tamat.
Sistem baru itu mungkin lebih adil, jelas kapten pasukan Perancis dan penjaga gol Hugo Lloris, tetapi ia juga membunuh kegembiraan menjaringkan gol. Ia menyakitkan kerana anda perlu menunggu sebelum anda boleh meraikan jaringan.
Lapan puluh ribu penonton di stadium ditinggalkan daripada proses itu tanpa video gerak perlahan dan hanya melihat pengadil menunjukkan isyarat tangan dia mahu melihat semula video.
“Teknologi itu sedikit menyahinsanikan permainan dan boleh menjejaskan persembahan. Bola sepak adalah mengenai sentimen termasuk ketidakadilan,” kata bekas pengadil Bruno Derrien.
“Video merampas tanggungjawab pembantu pengadil. Jika saya seorang pembantu, saya tidak akan mengangkat bendera untuk ofsaid kerana ada video untuk memutuskan semua itu.”
Penggunaan teknologi untuk membantu pengadil yang disukai presiden FIFA Gianni Infantino, mula diperkenalkan pada Piala Dunia Kelab 2012 untuk menentukan sama ada bola telah melintasi garisan gol.
Pengkritik berkata perkembangan terkini mengisyaratkan kemasukan teknologi selepas bola sepak lambat sedikit menggunakannya berbanding sukan lain seperti kriket dan bola sepak Amerika.
Bagi Pascal Caribian, ketua pengadil di Persekutuan Bola Sepak Perancis berkata, tidak perlu tergesa-gesa untuk menghakimi bantuan video yang sedang menjalani percubaan dua tahun untuk diperkenalkan pada Piala Dunia Rusia tahun depan.
“Ia memerlukan sejumlah besar permainan sebelum anda menghakimi,” katanya sambil menambah bukan secara kebetulan FIFA dan IFAB, yang menyelia peraturan permainan, meminta tempoh percubaan selama dua tahun.
Bekas perancang permainan Croatia, Zvonimir Boban, yang juga timbalan setiausaha agung FIFA berkata, aksi berprofil tinggi seperti aksi persahabatan pada Selasa adalah peluang terbaik untuk menguji teknologi.
“Kami amat gembira ujian itu berjalan dengan baik. Kita tahu akan ada ujian lain yang boleh menjadi tidak begitu positif seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.
“Tetapi ujian di Perancis menunjukkan kepada kita sekali lagi penggunaan video pembantu pengadil akan menjadikan permainan lebih jujur ??dan inilah apa yang kita mahu.” – AFP