Gambar AP
SAN FRANCISCO — Dua syarikat perkhidmatan ride-hailing sedang menuju ke kawasan yang belum dipetakan sementara mendapatkan kebenaran undang-undang untuk mengangkut penumpang sepanjang masa di salah satu bandar paling padat di Amerika Syarikat (AS) dalam kenderaan yang tidak akan mempunyai sesiapa yang duduk di tempat duduk pemandu.
Jika Cruise, anak syarikat General Motors serta Waymo, produk sampingan Google, berjaya mencapai matlamat mereka sebelum akhir tahun, San Francisco akan menjadi bandar AS pertama dengan dua syarikat perkhidmatan tanpa pemandu yang akan bersaing dengan Uber, Lyft dan teksi tradisional, semuanya bergantung kepada manusia untuk mengawal kereta.
Tetapi Cruise dan Waymo masih perlu mencari jalan keluar di sebalik cabaran-cabaran yang menanti, termasuk aduan tentang kenderaan mereka yang membuat perhentian secara tiba-tiba yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas yang mengancam keselamatan dan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Cruise telah pun mula mengenakan bayaran kepada orang ramai untuk perjalanan tanpa pemandu di kawasan kurang sesak di San Francisco pada waktu malam sejak Jun tahun lalu. Manakala Waymo memberikan perkhidmatan tanpa pemandu percuma di kawasan yang lebih luas di bandar sementara menunggu kebenaran untuk mula mengenakan bayaran kepada penumpang dalam kenderaan robotik yang Google bangunkan secara rahsia sejak 14 tahun lalu.
Usaha untuk melancarkan perkhidmatan tanpa pemandu yang bersaing di seluruh San Francisco adalah merupakan langkah pertama dalam pengembangan yang jauh lebih bercita-cita tinggi yang berpusat di California, negeri di mana lebih 35 juta kenderaan dipandu oleh manusia.


Cruise baru-baru ini memohon kebenaran untuk mula menguji kenderaan robotiknya di seluruh California pada kelajuan sehingga 88 kilometer sejam, 40 kilometer sejam melebihi kelajuan maksimum bagi teksi robotnya di San Francisco. Waymo sudah pun menguji kereta tanpa pemandunya di Los Angeles, bandar kedua terbesar AS.
Usaha di California ini dilakukan oleh Cruise sebagai tambahan kepada ujian teksi robotnya di Austin, Texas, serta Phoenix, di mana sejak 2020 perkhidmatan ride-hailing tanpa pemandu Waymo telah membawa penumpang di jalan Arizona yang jauh tidak sesak dan mencabar berbanding jalan-jalan di San Francisco.
“Kami masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi ia bertambah baik pada kadar yang agak pantas,” kata CEO Cruise, Kyle Vogt kepada The Associated Press.
“Apabila ia diperkemas, ia akan menjadi sangat elegan dari masa ke masa, dan keselamatan juga terus bertambah baik.”
Saswat Panigrahi, ketua pegawai produk Waymo, menjangkakan pe-ngalaman syarikat itu akan membuahkan hasil kerana ia memindahkan apa yang telah dipelajari daripada pengendalian perkhidmatan pengangkutan tanpa pemandu di Phoenix ke bandar yang lebih pesat seperti San Francisco dan Los Angeles.
“Ketidakpastian kini pastinya jauh lebih rendah, setelah menjalankan perkhidmatan automatik sepenuhnya dengan pemandu sebenar,” kata Panigrahi.
Perjalanan masih jauh
Kedua-dua Cruise dan Waymo baru-baru ini mengumumkan teksi robot tanpa pemandu mereka masing-masing telah dijalankan lebih daripada 1 juta batu (lebih 1.6 juta kilometer) tanpa sebarang kemalangan besar. Walau bagaimanapun, teksi robot mereka juga pernah berdepan masalah besar di San Francisco yang menyebabkan kesesakan lalu lintas dan gangguan lain yang mengancam atau menyusahkan orang ramai atau, lebih teruk lagi, menyekat kenderaan kecemasan yang bergegas ke tempat kebakaran.
“Perkara yang dijangkakan adalah mudah, tetapi perkara yang di luar jangkaan yang melibatkan tindak balas manusia pada masa nyata yang menjadi kebimbangan,” kata pakar pengangkutan, Nico Larco, yang merupakan pengarah Urbanism Next Center di Universiti Oregon. “Senario terbaik, sekurang-kurangnya ia hanya akan menyebabkan kekeliruan, riuh, serta kesesakan jika teksi robot berhenti di tengah jalan. Tetapi senario yang paling buruk sebenarnya boleh membahayakan nyawa seseorang.”
Sementara itu, berpuluh-puluh syarikat teknologi dan pembuat kereta lain telah menyertai perlumbaan untuk membangunkan teknologi kereta pandu sendiri dengan kos kolektif lebih daripada AS$100 bilion.
Matlamat utama mereka adalah untuk membuat wang daripada pemandu robotik yang lebih selamat dan lebih murah daripada pemandu manusia. Teksi robot juga mampu merendahkan kos untuk penumpang, walaupun Vogt percaya pengguna mungkin sanggup bayar lebih banyak untuk perjalanan tanpa orang asing di dalam kereta.
Pelaburan setakat ini telah menghasilkan pelbagai kejayaan, kegagalan dan promosi daripada orang-orang seperti CEO Tesla, Elon Musk, yang meramalkan hampir empat tahun lalu bahawa pembuat kereta elektrik itu akan menjalankan perkhidmatan teksi robot secara besar-besaran menjelang akhir tahun 2020.
Kebimbangan tentang robot teksi yang boleh menyebabkan kesusahan kepada pengguna jalan raya yang lain dibangkitkan dalam surat amaran yang dihantar kepada penggubal undang-undang California pada bulan Januari oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Daerah San Francisco.
Surat itu memetik sekurang-kurangnya 92 insiden teksi robot Cruise yang berhenti mengejut di jalan raya sehingga 31 Disember. Sekurang-kurangnya tiga daripada insiden itu menghalang hak laluan bagi pengangkutan awam untuk tempoh antara sembilan hingga 18 minit.
Dalam tempoh setahun lalu, teksi robot Cruise juga menghalang anggota bomba bergegas ke tempat kebakaran sebanyak tiga kali dan secara melulu memandu masuk ke kawasan di mana anggota bomba masih berusaha untuk memadam kebakaran, menurut pihak berkuasa, yang meminta para penggubal undang-undang untuk menangguhkan kebenaran perkhidmatan teksi robot di seluruh San Francisco sehingga terdapat lebih banyak maklumat mengenai sebab dan kekerapan kereta mereka menghalang lalu lintas secara berkala.
Brek mengejut serta perhentian secara tiba-tiba oleh teksi robot Cruise juga telah disiasat sejak akhir tahun lepas.
“Kami sangat berhati-hati,” kata Tilly Chang, pengarah eksekutif untuk pihak berkuasa pengangkutan San Francisco.
“Kami mahu menyokong dan membantu memudahkan (perkhidmatan tanpa pemandu), tetapi kami perlu memastikan ia selamat.”
Pengalaman menaiki teksi robot
Dua wartawan Associated Press menyaksikan potensi masalah yang boleh ditimbulkan oleh teksi robot pada pertengahan Februari selepas kenderaan Waymo selamat membawa mereka dalam perjalanan melalui San Francisco yang memerlukan navigasi kawasan berbukit, melakukan pusingan semasa waktu sibuk dan bertindak balas kepada pejalan kaki yang melintas jalan secara tiba-tiba.
Dalam satu perjalanan, teksi robot berhenti di tengah jalan selepas wartawan AP keluar, dan kekal di sana selama beberapa minit menyebabkan kereta yang dipandu oleh manusia bertindan di belakangnya. Ternyata pintu belakang di sebelah pemandu belum ditutup sepenuhnya. Dalam satu insiden lain pada September lalu, seorang wartawan AP melalui perjalanan kira-kira lima batu dalam teksi robot yang digelar ‘Peaches’, yang berulang kali mengelak destinasi yang ditetapkan. Wartawan itu akhirnya terpaksa menggunakan aplikasi Cruise untuk menghubungi pengendali supaya kereta itu dapat dihentikan, di tengah-tengah jalan.
Vogt menyatakan beberapa penambahbaikan telah dibuat sejak itu, dan sememangnya dua teksi robot Cruise yang berbeza, satu bernama ‘Cherry’ dan satu lagi bernama ‘Hollandaise’, menurunkan wartawan yang sama dan rakan sekerjanya di destinasi yang ditetapkan mereka semasa perjalanan susulan, walaupun ‘Cherry’ berhenti di perhentian bas yang menghalang ketibaan bas yang mendatang.
Pemilik Cruise, General Motors yang berusia hampir 125 tahun, bagaimanapun yakin teksi robot akan memandu dengan lebih bertanggungjawab berbanding manusia dan dapat mengembangkan perkhidmatan tanpa pemandunya ke lebih banyak pasaran AS sehinggakan ia membuat ramalan pada musim gugur lalu bahawa Cruise akan menjana AS$1 bilion menjelang 2025, lonjakan besar daripada hasil Cruise sebanyak AS$106 juta tahun lepas.
Keyakinan itu adalah sangat berbeza dengan pengalaman mengecewakan pembuat kereta terkenal lain, Ford Motor, yang membayar AS$1 bilion pada 2017 untuk memperoleh syarikat start-up tanpa pemandu, Argo AI, hanya untuk menutup divisyen itu pada Oktober lalu dan menelan kerugian AS$2.7 bilion selepas gagal mencari pembeli untuk teknologi tersebut. – AP

