Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teksi terbang dijangka bantu atasi kesesakan lalu lintas

    SAN FRANCISCO – Ketika trafik di bandar menjadi semakin sibuk, usahawan melihat kepada masa depan di mana penumpang menaiki ‘teksi udara’ yang membawa mereka di atas jalan yang penuh sesak.

    Syarikat-syarikat seperti Archer, Joby dan Wisk sedang mengusahakan pesawat elektrik yang berlepas dan mendarat secara menegak seperti helikopter dan seterusnya bergerak ke hadapan seperti pesawat.

    “’The Jetsons’ pastinya merupakan rujukan yang banyak dibuat orang apabila cuba menganalisis mengikut konteks apa yang kami lakukan,” kata Naib Presiden Archer Louise Bristow kepada AFP, merujuk kepada komedi animasi 1960an tentang sebuah keluarga yang hidup di masa depan yang berteknologi tinggi.

    “Cara paling mudah untuk memikirkannya adalah kereta terbang, tetapi bukan itu yang kami lakukan.”

    Apa yang Archer bayangkan adalah zaman perkongsian kenderaan udara, “Uber atau Lyft di udara,” kata Bristow.

    Bumbung garaj tempat letak kereta kejiranan atau lot pusat beli-belah boleh berfungsi sebagai pad berlepas atau ketibaan untuk pesawat elektrik berlepas dan mendarat menegak (eVTOL).

    Cessna 208B Grand Caravan yang telah dilengkapi dengan peralatan penerbangan autonomi dilihat di ibu pejabat Xwing di Concord, California. – AFP
    CTO Maxime Gariel dilihat memeriksa sistem dalam Cessna 208B Grand Caravan. – AFP
    Marc Piette, Ketua Pegawai Eksekutif Xwing, ketika ditemui pemberita di bilik operasi penerbangan di ibu pejabat Xwing di Concord, California. – AFP
    Pekerja bekerja di ibu pejabat Xwing di Concord. – AFP
    Pekerja Xwing kelihatan memeriksa sistem penerbangan dalam Cessna 208B Grand Caravan yang telah dilengkapi dengan peralatan penerbangan. – AFP

    Para penumpang boleh meneruskan perjalanan mengikut cara yang mereka mahu, malah menyelaraskan perjalanan dengan perkhidmatan perkongsian kereta seperti Uber yang memiliki saham dalam Joby yang berpangkalan di Santa Cruz, California.

    Eksekutif Joby berkata baru-baru ini bahawa pesawat model pengeluaran pertamanya harus berada di udara pada akhir tahun ini.

    Ia diadakan walaupun prototaip Joby terhempas awal tahun ini semasa diuji pada kelajuan dan ketinggian yang jauh lebih besar daripada yang perlu dikendalikan sebagai sebahagian daripada armada teksi udara.

    Joby enggan membincangkan butiran nahas pesawat yang dipandu jauh itu, yang berlaku di kawasan tidak berpenghuni, sambil berkata ia sedang menunggu pengawal selia penerbangan Amerika Syarikat menyelesaikan siasatan.

    “Kami berada di penghujung kempen pengembangan ujian penerbangan pada tahap ujian yang jauh melebihi apa yang kami jangkakan dalam operasi biasa,” kata pengerusi eksekutif Joby Paul Sciarra kepada penganalisis.

    “Saya sangat teruja dengan kedudukan kami sekarang; kami telah menunjukkan prestasi penuh pesawat kami.”

    Pesawat eVTOL syarikat mempunyai jarak maksimum 150 batu, kelajuan tertinggi 200 batu sejam dan ‘profil bunyi rendah’ untuk mengelakkan bunyi bising yang membingitkan, kata syarikat itu.

    Joby telah mengumumkan kerjasama dengan SK Telecom dan platform mobiliti TMAP di Korea Selatan untuk menyediakan perkongsian kenderaan udara dengan pelepasan karbon sifar.

    “Dengan menjalin kerjasama dengan Joby, TMAP akan menjadi pengendali platform yang boleh menawarkan perkhidmatan pengangkutan yang lancar antara darat dan udara,” kata ketua eksekutif TMAP Lee Jong Ho dalam satu kenyataan.

    Joby juga telah mengumumkan kerjasama dengan syarikat penerbangan Jepun ANA untuk melancarkan perkhidmatan teksi udara di Jepun. Dan Toyota juga telah menyertai pakatan itu, dengan matlamat untuk menimbang penambahan pengangkutan darat kepada perkhidmatan sedemikian di sana, kata Joby.

    Pemikiran semula diperlukan

    Halangan yang bakal dihadapi termasuk mewujudkan infrastruktur dan menyesuaikan sikap untuk menjadikan teksi udara sebahagian daripada kehidupan seharian.

    “Untuk pelaksanaan besar-besaran, orang ramai perlu mengubah minda mereka,” kata Bristow.

    “Membuat orang ramai ingin mengembara dengan cara yang berbeza memerlukan pemikiran semula.”

    Keperluan untuk melakukan perubahan itu, bagaimanapun, adalah jelas, ujarnya. Jalan raya sesak dengan lalu lintas yang membuang masa, mengganggu saraf dan melepaskan pencemaran.

    “Tiada tempat lain untuk lalu lintas,” kata Bristow.

    “Awak kena naik ke udara.”

    Miami dan Los Angeles sudah pun menerokai potensi perkongsian kenderaan udara, dan Archer berharap untuk melancarkan perkhidmatan teksi udara kecil yang beroperasi di sekurang-kurangnya satu daripada bandar tersebut menjelang akhir tahun 2024.

    “Ia adalah satu tugas amat besar yang kami pikul,” kata Bristow.

    “Ia akan mengambil sedikit masa sebelum infrastruktur menyokong pembangunan besar-besaran yang kami cuba lakukan.”

    Archer bulan lepas mengumumkan ia bekerjasama dengan United Airlines untuk menubuhkan jawatankuasa penasihat eVTOL.

    Syarikat penerbangan AS itu telah menempah 200 pesawat Archer dengan tujuan untuk menggunakannya untuk pengangkutan ‘jarak terakhir’ dari lapangan terbang, kata Bristow kepada AFP.

    “Bayangkan terbang dari London ke Newark, New Jersey, kemudian menaiki Archer dan mendarat di suatu tempat di Manhattan,” kata Bristow.

    Lebih banyak masa untuk kehidupan

    Syarikat baharu Silicon Valley Xwing mengkhusus dalam pembuatan pesawat standard yang mampu terbang dengan selamat tanpa juruterbang, dengan matlamat untuk menukar perjalanan melalui udara menjadi cara yang lebih murah dan lebih cekap untuk perjalanan.

    “Kami percaya di sini bahawa industri sedang melalui transformasi yang agak dramatik,” beritahu ketua dan pengasas Xwing, Marc Piette kepada AFP.

    “Dalam beberapa tahun awda akan mula melihat rangkaian teksi pesawat elektrik secara serantau atau dalam jarak jauh dan ia akan menjadi landskap yang agak berbeza.”

    Beribu-ribu lapangan terbang serantau yang kebanyakannya digunakan untuk rekreasi boleh menjadi sebahagian daripada rangkaian ulang-alik udara, kata perunding mobiliti udara Scott Drennan kepada AFP.

    Bagi Drennan, sebab utama untuk beralih di udara adalah untuk ‘mengembalikan masa kepada orang’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda