Tekwando kembali jalani latihan di kemudahan sukan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Sukan tekwando menyertai sukan seni mempertahankan diri terbaharu yang dibenarkan meneruskan aktiviti latihan di kemudahan sukan tertutup di negara ini dengan protokol kesihatan dan keselamatan.

Tiga ahli tekwando telah menghadiri sesi latihan di Kompleks Sukan Menglait kelmarin, sementara kumpulan lain juga telah melaporkan diri untuk latihan awal bulan ini.

Kembalinya sukan tekwando yang sangat dinanti-nantikan sebagai salah satu sukan kebangsaan yang popular, mengikuti sukan seni mempertahankan diri yang lain seperti wusyu, karate dan pencak silat untuk kembali menjalani latihan.

Penyambungan semula latihan tekwando membantu meningkatkan lagi aktiviti sukan dengan atlet elit negara kembali ke kemudahan sukan di bawah bimbingan jurulatih.

Sukan badminton juga telah kembali semula dengan penyertaan pemain muda dan pemain berpengalaman yang secara aktif bersaing dalam kejohanan tempatan mengikuti skim di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Sukan tekwando telah kembali menjalani sesi latihan di Kompleks Sukan Menglait kelmarin.

Begitu juga, sukan wusyu kembali ke kemudahan sukan tertutup dengan beberapa atlet negara meneruskan rutin latihan mereka.

Atlet lawan pedang juga telah kembali berlatih tanpa menggunakan pedang melalui latihan berskip dan tekan tubi serta rutin yang memfokuskan latihan kaki.

Atlet pencak silat di negara ini terutama dalam bidang seni mempertahankan diri dan karate junior juga telah kembali menjalani latihan di Kompleks Sukan Menglait.

Kelab bola sepak tempatan DPMM FC juga tidak ketinggalan kembali berlatih di Stadium Mini Jerudong dalam kumpulan kecil tanpa menggunakan bola dengan mengikut garis panduan sukan berpasukan.

Pembukaan semula kemudahan dan kompleks sukan serta padang golf telah membuka jalan bagi kembalinya sukan seperti pingpong, tenis, badminton, skuasy, golf, boling 10 pin dan pool.

Dengan perlawanan beregu yang kini dibenarkan, kehadiran peminat sukan tenis menyaksikan peningkatan sekitar 30 individu dalam tempoh sebulan.

Kolam Renang Kebangsaan Kompleks Negara Sukan Hassanal Bolkiah memasuki minggu ketiga kembali beroperasi semalam sejak dibuka semula pada 6 Julai lalu.

Dalam mematuhi garis panduan kemudahan sukan tertutup, papan tanda langkah pencegahan wabak COVID-19 telah diletakkan di dalam dan di luar kompleks dengan pita penanda penjarakan sosial juga dilekatkan.

Individu juga diminta mencatat kehadiran mereka ke dalam buku pendaftaran di pintu masuk semasa memasuki dan keluar dari kemudahan tersebut.