LONDON, 1 DIS – Tel Aviv dinamakan sebagai bandar raya paling mahal di dunia untuk didiami susulan inflasi yang makin melonjak naik sekali gus meningkatkan kos sara hidup, menurut satu tinjauan yang diterbitkan hari ini.
Bandar raya itu naik lima anak tangga untuk menduduki kedudukan teratas buat kali pertamanya dalam ranking yang disusun oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU).
Indeks Kos Sara Hidup Seluruh Dunia disusun dengan membandingkan harga dalam dolar Amerika Syarikat (AS$) untuk barangan dan perkhidmatan di 173 bandar raya.
Tel Aviv berada di kedudukan itu sebahagiannya disebabkan oleh keutuhan mata wang negaranya iaitu shekel, berbanding dolar, selain faktor kenaikan harga pengangkutan dan barangan runcit. Paris dan Singapura berkongsi di tempat kedua, diikuti Zurich dan Hong Kong.
Sementara New York berada di tempat keenam dan Geneva pula di tempat ketujuh.
Turut berada dalam senarai 10 bandar raya paling mahal di dunia adalah Copenhagen yang berada di kedudukan kelapan, diikuti Los Angeles (kesembilan) dan Osaka (ke-10).
Untuk rekod, pada tahun lalu, tinjauan yang sama meletakkan Paris, Zurich dan Hong Kong berkongsi kedudukan di tempat pertama.
Sementara itu, ibu negara Syria, Damsyik dinamakan sebagai bandar paling murah untuk didiami di seluruh dunia. –AFP
