Teladani kepimpinan Rasulullah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Beberapa ciri kepimpinan Rasulullah SAW yang patut dicontohi adalah menerima pandangan orang bawahan, mengamalkan syura atau lebih dikenali sebagai mesyuarat.

Namun begitu ia perlu mengikut lunas-lunas dalam Islam sehingga tidak mengabaikan kewajiban dan tanggungjawab selaku orang Islam.

Perkara ini antara yang ditekankan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustafa semasa menyampaikan tazkirah subuh bertajuk ‘Meneladani kepimpinan Rasulullah SAW’ pada Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Dalam tazkirahnya itu, Haji Muskrisman Safari turut menerangkan tentang pembahagian kuasa yang mana Rasulullah sering membuat perubahan dan penukaran gabenor atau pemerintahnya.

Ini, jelas beliau, adalah untuk memberikan peluang kepada orang lain merasai menjadi pemimpin. Hal ini banyak berlaku ketika Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Oleh yang demikian, tugas dan tanggungjawab menjadi seorang pemimpin adalah berat dan akan dipersoalkan di akhirat nanti. “Maka seyogia kita selaku umat Baginda Nabi Muhammad SAW perlu mencontohi cara kepimpinan Baginda,” tambah beliau.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti ketika sama-sama mendengarkan tazkirah yang disampaikan Haji Muskrisman Safari.