Oleh Fad –
Aku tidak pernah menyangka bahawa perpindahan ke Kampung Merinding (bukan nama sebenar) akan menjadi babak yang menghantui hidupku.
Rumah itu kelihatan usang, tetapi berdiri kukuh di hujung kampung, dikelilingi hutan tebal. Bersama isteriku, Nurin, aku membawa harapan baharu untuk memulakan hidup baharu, meskipun aku sedar cerita-cerita seram tentang kampung ini bukan sekadar cakap kosong.
Malam pertama kami di rumah itu, aku rasa sesuatu yang aneh. Tetapi aku menyimpannya sendiri, tidak mahu menakutkan Nurin. Namun, tengah malam itu, Nurin membangunkan aku.
“Bang… ada orang di luar,” bisiknya sambil menggoncang bahuku.
Aku mengintai keluar tingkap, tapi yang ku lihat hanyalah kegelapan pekat.
“Mungkin angin saja tu lai. Tidur tah,” ujarku.
Namun, suara itu tidak berhenti. Bisikan perlahan semakin jelas, “Kamu inda akan selamat di sini…” Suara itu datang dari arah halaman, tempat telaga tua yang sudah lama terbiar.
Keesokan paginya, kami bertemu Pak Salleh, warga tua kampung yang sering menjadi tempat rujukan penduduk.
“Pak Salleh, kenapa telaga di halaman rumah kami atu macam inda pernah dipakai lagi?” tanyaku.
Pak Salleh mengeluh panjang, “Telaga atu menyimpan rahsia lama, Arif. Roh-roh yang inda dapat tenang di situ. Dulu, ada keluarga tinggal di rumah atu, tapi anak-anak mereka hilang seorang demi seorang. Sampai sekarang, jasad mereka inda pernah dijumpai.”
Aku meremang mendengar cerita itu. Nurin menggenggam erat tanganku.
Malam berikutnya, suara bisikan kembali. Kali ini, ia memanggil lebih jelas.
“Keluar… selamatkan kami…”
Nurin sudah tidak dapat menahan ketakutannya. “Bang, alai inda dapat tahan sudah. Suara atu macam memanggil alai. Bisai tah kitani pindah saja.”
“Tapi kitani baru saja sampai, lai. Mungkin kau yang terlalu memikirkan,” ujarku.
Namun, malam itu juga, aku melihat kelibat seorang budak perempuan di tepi telaga.
Wajahnya pucat, matanya kosong.
“Bang! Ada orang di sana!” jerit Nurin.
Aku bergegas keluar dengan lampu suluh, tapi kelibat itu hilang. Sebaliknya, aku hanya mendengar suara tangisan halus dari dalam telaga.
MISTERI DI DASAR TELAGA
Rasa ingin tahuku semakin mengatasi rasa takut. Pada malam berikutnya, aku mengambil keputusan untuk turun ke dasar telaga itu, walaupun Nurin membantah.
“Bang, jangan tah cuba! Alai rasa benda ani inda baik!” Nurin menangis sambil menarik tanganku.
“Abang mesti tahu, lai. Kalau kitani biarkan, benda ani inda akan selesai.”
Dengan tali dan lampu suluh, aku perlahan-lahan turun ke dasar telaga. Di situ, aku menemui sesuatu yang membuatkan darahku membeku: tulang-tulang manusia kecil, berselerakan di dasar telaga.
Namun, sebelum aku sempat naik semula, aku merasakan sesuatu menarik tali yang kugenggam. “Lai! Tarik abang naik!” jeritku panik.
Tapi bayangan gelap mula muncul di sekelilingku. Aku merasakan tenaga jahat seolah-olah mahu menghalang aku keluar.
Aku akhirnya berjaya keluar dengan bantuan Nurin. Dengan keadaan terketar-ketar, kami kembali ke dalam rumah. Aku tahu kami tidak boleh tinggal di sana lagi.
Keesokan harinya, Pak Salleh bersama orang kampung datang untuk memusnahkan telaga itu. Api dinyalakan, dan perlahan-lahan telaga itu runtuh ke dalam tanah.
Namun, sebelum kami meninggalkan kampung itu, aku mendengar bisikan terakhir: “Kamu inda akan pernah selamat…”
Kami akhirnya berjaya meninggalkan Kampung Merinding, tetapi pengalaman itu kekal menghantui hidup kami.
Sampai hari ini, aku masih bertanya-tanya: apakah roh-roh di telaga itu benar-benar telah pergi, atau adakah mereka hanya menunggu untuk mencari mangsa seterusnya?
Kisah ini akan sentiasa menjadi peringatan bagiku, bahawa ada perkara yang tidak sepatutnya kita ganggu, dan ada rahsia yang lebih baik dibiarkan terkubur.