Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Telaga peribadi bantu atasi krisis air

    CARACAS – Elizabeth Robles mengharungi kehidupan penuh dengan cabaran sejak kebelakangan ini berikutan krisis air yang dihadapi di kebanyakan kawasan di ibu negara Venezuela itu.

    Bekalan air hanya disalurkan ke rumah-rumah pada kadar minimum iaitu satu hingga dua kali dalam tempoh masa seminggu.

    Dari situ, Robles yang merupakan seorang pemilik perniagaan dan peguam telah berusaha untuk mengupah trak bagi memenuhi tangki air di kediamannya di mana ia turut dilakukan oleh penduduk yang lain.

    “Setentunya anda berasa rimas sekiranya anda tidak berpeluang untuk mandi tatkala pulang ke rumah selepas bekerja dalam sekitar jam 5 petang. Kesegaran setentunya sangat didambakan pada ketika itu,” jelas Robles.

    Setelah lama berasa terbeban dengan krisis air yang dialami tersebut, penduduk di kawasan itu nekad untuk mengambil air dari perigi berdekatan dengan apartmen di kawasan kejiranan Campo Alegre.

    Penduduk yang kurang berkemampuan di Caracas akan menyediakan botol atau bekas kosong untuk menyimpan bekalan air. – AP

    Penggunaan air dari telaga memang menjadi satu perkara yang cukup popular di Venezuela terutama dalam mengambil kira krisis ekonomi dan sistem bekalan air yang tidak seimbang.

    Kemelut di Venezuela semakin ketara ketika berada di bawah pemerintahan Presiden Nicolas Maduro di mana semakin ramai penduduk di negara itu yang menyimpan hasrat untuk berhijrah tatkala dalam merujuk akan masalah kekurangan makanan, perubatan, jenayah dan kini krisis air.

    Robles menjelaskan dia dan jirannya telah mengupah firma untuk melakukan kerja-kerja pengorekan tanah bernilai AS$7,000 dan sebanyak AS$280 telah dikumpulkan daripada setiap keluarga.

    Sekurang-kurangnya penduduk dari tiga buah bangunan berdekatan juga turut mengupah khidmat pengorekan tanah yang sama demi mendapatkan bekalan air.

    Syarikat perkhidmatan itu telah mengerahkan krunya untuk melakukan kerja-kerja pengorekan tanah. Bunyi bising daripada mesin tersebut jelas kedengaran selama beberapa hari terutama apabila ia melakukan kerja-kerja pengorekan tanah yang mencapai pada paras 260 kaki dari kawasan permukaan.

    Sementara, golongan yang tidak berkemampuan pula kelihatan cukup menderita untuk mendapatkan bekalan air dan berusaha untuk mengisi tangki diperbuat daripada plastik dipercayai boleh memuatkan sekitar 150 gelen air di mana ia juga turut dilengkapi oleh pam elektrik.

    “Ada kalanya, pakaian kotor hanya dibiarkan berada dalam keadaan bertimbun tidak bercuci,” jelas Carlos Garcia, seorang bekas pekerja binaan yang hanya berpeluang untuk mendapatkan bekalan air dengan mengisi beberapa bekas selama lapan jam sehari.

    Menurut Balai Cerap Konvensyen Venezuela, krisis air ini secara tidak langsung turut mencetuskan protes daripada 400 orang di negara dalam tempoh lima bulan terawal pada tahun ini.

    Sebelum ini, Caracas pernah memiliki sistem air bertaraf dunia, mengepam air dari takungan di kawasan gunung menuju ke lembah sekali gus mengalirkan airnya ke kawasan bandar.

    Kini, saliran paipnya telah pecah dan pam airnya juga gagal untuk berfungsi sekali gus menyebabkan krisis air berlaku di mana ia secara tidak langsung turut memberi kesan buruk terhadap penduduknya.

    Di samping itu, pakar juga turut melakukan kesimpulan bahawa kadar hujan yang berkurangan juga turut membantutkan proses penyelenggaraan.

    Bekas Presiden Pembekal Air Negara, Hidrocapital, Jose Maria de Viana menyalahkan perkara tersebut berlaku adalah berikutan daripada isu ketidak cekapan dan turut menolak alasan kerajaan yang mengatakan bahawa ia berpunca berikutan kurangnya jumlah hujan turun sekali gus menjejaskan jumlah takungan air.

    Sesetengah penduduk mengakui cukup rimas kerana perlu untuk mengumpulkan air dalam baldi bagi kegunaan aktiviti harian seperti mencuci pakaian. – AP
    Khidmat pengorekan tanah bagi mencari telaga air juga semakin meningkat demi memberikan keselesaan kepada penduduk di Caracas. – AP

    “Secara perlahan-lahan, masalah tersebut setentunya akan mewujudkan krisis air di kawasan bandar ini sekali gus turut mengundang protes dan kemarahan daripada orang awam,” jelas De Viana.

    Pekerja yang bertanggangjawab dalam mengorek perigi di bawah Venezuela Pump Engineering, Fernando Gomez menjelaskan bahawa khidmat yang ditawarkan oleh syarikatnya semakin meningkat sejak dua bulan lalu tatkala ramai individu yang terdesak untuk mendapatkan bekalan air.

    Telefon berdering sebanyak empat ke lima kali dalam sehari dan ia jauh berbeza dalam tempoh setahun lalu yang hanya menerima panggilan sebanyak dua kali seminggu.

    “Khidmat pengorekan telaga jelas mendapat sambutan yang menggalakkan,” jelas Gomez.

    Melakukan kerja-kerja pengorekan telaga peribadi ini juga dianggap sebagai satu perkara menyalahi undang-undang kerana ia memerlukan permit sebelum sebarang projek dilaksanakan.

    Bagaimanapun pengurusan dokumen itu boleh memakan tempoh masa sehingga dua tahun dan penduduk setempat juga kelihatan sangat terdesak untuk mendapatkan bekalan air.

    Penduduk di sebuah kawasan terpencil di Venezuela iaitu Petare juga tidak terkecuali daripada masalah kekurangan air tersebut sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

    Salah seorang penduduk, Carmen Rivero menjelaskan bahawa kebanyakan penduduk di kawasan tersebut berusaha menyediakan tong-tong kosong untuk mengisi air sebagai bekalan kegunaan harian.

    “Pada suatu malam, kemunculan bekalan air secara tiba-tiba telah mengejutkan penduduk di kawasan ini sehingga ada juga yang menangis gembira kerana kehadirannya secara tidak langsung telah memudahkan kembali rutin harian,” jelas Rivero.

    Ketika waktu tersebut, dia juga turut mengisi tab dalam rumahnya untuk dijadikan sebagai bekalan air.

    Namun, kini masalah ketiadaan air turut kembali melanda kawasan tersebut sehingga menyebabkan ramai yang melakukan protes.

    Rivero turut menjelaskan bahawa tentera bersenjata juga sentiasa mengawasi keadaan dan mengancam untuk menangkap jika tidak segera meleraikan protes tersebut.

    “Anda seorang manusia dan anda mengetahui kehidupan setentunya sukar tanpa bekalan air merupakan antara kata-kata yang dilontarkan sewaktu protes tersebut,” jelas Rivero ketika mengimbas kembali kenangan pahit tersebut. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda