Kes kehilangan kanak-kanak sememangnya antara isu membimbangkan dalam kalangan masyarakat terutama bagi mereka yang bergelar ibu bapa.
Menurut mStar, biarpun kebanyakan kes berjaya diselesaikan pihak berkuasa akan tetapi terdapat juga kes masih menjadi misteri sehingga ke hari ini.
Oleh itu, terciptalah sebuah idea oleh syarikat produksi Odissi Creative Sdn Bhd untuk menghasilkan sebuah filem berjudul Telaga Suriram.
Pengarah Osman Ali berkata, filem tersebut diinspirasikan daripada sebuah kisah lama melibatkan seorang kanak-kanak mati terjatuh ke dalam telaga.
Tambah Osman, 52, dia bersama pihak produksi merasakan kisah tersebut sangat menarik untuk diangkat menjadi sebuah filem.

“Terdapat cerita atau mitos rakyat dahulu yang mengaitkannya tentang kepercayaan telaga-telaga lama yang dipercayai berhantu dan mengambil nyawa manusia.
“Jadi, kami rasa adalah sangat menarik untuk menghasilkan sebuah naskhah menggabungkan elemen mistik yang penuh dramatik dengan kepercayaan lama diwarisi turun-temurun,” katanya.
Dalam pada itu, Osman mengakui terdapat beberapa cabaran dalam menghasilkan filem berkenaan seperti diganggu kelibat-kelibat makhluk halus.
Bagaimanapun Osman, kru dan pelakon menganggap perkara itu sebagai salah satu dugaan ketika sedang bekerja.
“Lokasi yang kami pilih semuanya mempunyai kisah mistik tersendiri, jadi memang ada kejadian-kejadian seram yang berlaku seperti suara misteri.
“Selain itu, ada kru yang rasa diperhatikan dan ternampak kelibat pelik.
“Namun, kami anggap itu semua sebahagian daripada cabaran kerja,” ujarnya. – Agensi