BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Kira-kira 60 kakitangan Telekom Brunei Berhad (TelBru) menyertai majlis membaca Surah Yasin dan bertahlil khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.
Hadir mengetuai rombongan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) selaku Pengerusi TelBru, Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Ketua Pegawai Eksekutif Sementara TelBru, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, dan ahli-ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut.
Majlis tersebut, diadakan sebagai antara aktiviti keagamaan syarikat tersebut sempena bulan suci Ramadan, termasuk bacaan tahlil, Surah Yasin dan Doa Arwah.
Selain menyemarakkan bulan Ramadan ini, ia juga bertujuan untuk mempererat lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan TelBru dan meraih rahmat Allah SWT.
Sementara itu, dalam acara berasingan, TelBru turut mengadakan majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 350 orang daripada beberapa buah badan amal, organisasi bukan kerajaan dan pusat kebajikan kerajaan.
Majlis tersebut, yang diadakan di Aman Hills, dihadiri oleh Dr Haji Abdul Manaf, Awang Ahmad Jefri, ahli-ahli Lembaga Pengarah, pengurus-pengurus kanan dan beberapa sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan TelBru.
Ia dimulakan dengan tahlil dan bacaan Doa Selamat, diikuti dengan penyampaian sumbangan daripada kakitangan TelBru serta sejumlah baucar membeli-belah yang disumbangkan oleh syarikat tersebut kepada para penerima dan diikuti dengan berbuka puasa.
Majlis tersebut antara lain bertujuan membantu mengurangkan beban kehidupan para penerima khususnya kanak-kanak, yang kurang bernasib baik, dalam menjalani kehidupan harian serta membuat persiapan menjelang Hari Raya nanti.
Ia juga membantu merapatkan hubungan silaturahim antara syarikat dan masyarakat, dan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memberi semula kepada masyarakat.
