Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – TelBru memperkenalkan pelan-pelan tambahan dan dipertingkatkan bagi perkhidmatan jalur lebarnya yang akan bermula esok, 1 Mac 2018.
Pelan-pelan baharu berkenaan telah diumumkan oleh Ketua Bahagian Jualan Telbru, Kevin Yap semasa sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat TelBru, di sini, hari ini.
Konsep pelan-pelan dipertingkatkan dan tambahan ini adalah untuk memberi lebih banyak nilai dan pilihan bagi para pelanggan, memberi mereka pilihan pelan yang akan memenuhi keperluan mereka, sama ada bagi data atau kelajuan.
Dalam set pelan-pelan jalur lebar ini, buat pertama kalinya, TelBru memperkenalkan pelan-pelan jalur lebar berdasarkan kelajuan tinggi, yang mana syarikat itu menawarkan sambungan lebar jalur berkelajuan tinggi, menyasarkan para pemain permainan video dan mereka yang suka menstrim video dan lebih memerlukan kelajuan berbanding kuantiti data. Selain itu, pilihan tambah nilai turut diubah bagi memenuhi keperluan para pelanggan.

Sejak diperkenalkan pada Januari 2015, TelBru sentiasa menganalisis nilai tambah nilainya dan mengumpulkan segala saranan dan cadangan daripada pelanggan-pelanggannya bagi menambah lagi nilai perkhidmatannya. Tambah nilai berkenaan bolehlah didapati melalui aplikasi My TelBru atau di cawangan-cawangan TelBru.
Semua inisiatif ini dilakukan bagi membolehkan rakyat di negara ini dapat mengakses teknologi jalur lebar ultra pantas bertaraf dunia TelBru pada harga yang berpatutan dengan mendapat lebih banyak pilihan data serta kelajuan, yang merupakan langkah penting untuk merealisasikan visi masyarakat pintar dan meningkatkan daya saing antarabangsa negara.
Sementara itu, TelBru turut memberitahu bahawa pelanggan yang sedia ada akan secara automatiknya dipindahkkan kepada pelan jalur lebar yang baru diperkenalkan ini.
Oleh itu, mereka tidak lagi perlu untuk memohon semula bagi pelan yang sama kecuali bagi mereka yang berhasrat memohon bagi pelan terbaru yang diperkenalkan oleh TelBru tersebut.