BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Selepas lapan bulan kerja keras, Telekom Brunei Berhad (TelBru) mengumumkan bahawa projek FTTH seluruh negara yang mana lebih 5,000 buah rumah dan perniagaan kini mempunyai akses kepada sambungan Internet bertaraf dunia, telah berakhir.
Selaras dengan objektif syarikat untuk memastikan rakyat Brunei dapat menggunakan pertumbuhan industri ICT negara secara efektif, projek berkenaan telah diperluaskan
ke tujuh kawasan di seluruh negara dengan penerima terbesar merangkumi 2,000 sambungan di Pangkalan Batu.
Pelanggan lain yang kini menerima perkhidmatan FTTH termasuk penduduk Skim Perumahan Rataie di Temburong serta Sungai Bera yang memenuhi keperluan pelanggan perindustrian.
Untuk meraikan kejayaan berkenaan, hari ini, TelBru telah mengadakan majlis bagi menghargai kerja keras lebih 400 ahli pasukan dari TelBru dan kontraktor yang terlibat dalam projek memecah rekod berkenaan di mana sepanjang projek itu, menyaksikan 480,000 meter kabel optik gentian dipasang.
Ketua Pegawai Teknologi, Indres Chetty dalam ucapannya pada majlis itu melahirkan penghargaan atas bantuan yang diberikan agensi-agensi kerajaan dalam mempercepatkan perlaksanaan projek yang memerlukan permit daripada pelbagai jabatan.
Dengan berakhirnya projek berkenaan, TelBru kini memasuki fasa kedua pemasaran FTTH besar-besaran yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Inisiatif berterusan ini bersandarkan momentum yang telah ditetapkan syarikat tatkala TelBru berusaha untuk memberikan perkhidmatan superior dari segi kualiti dan perkhidmatan pelanggan selaras dengan jangkaan negara di bawah Wawasan Brunei 2035.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Interim TelBru, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, pegawai-pegawai kanan kerajaan, warga pengurusan kanan dan kakitangan TelBru.

