BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Telekom Brunei Berhad (TelBru), hari ini, telah meraikan tiga orang kakitangannya yang telah memeluk agama Islam dalam tahun ini, pada majlis kesyukuran yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Ugama Serusop.
Pada masa yang sama TelBru juga telah mengadakan majlis tahlil bulanannya sebagai sebahagian daripada komitmen keagamaan syarikat ke arah meningkatkan kerohanian kakitangannya.
Selain kakitangan syarikat, turut hadir pada majlis itu ialah warga pengurusan kanan TelBru termasuk Ketua Pegawai Maklumat, Haji Halid bin Haji Mohadi dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat, Hajah Rosmawati binti Haji Manaf.
Kakitangan yang diraikan pada majlis itu ialah Dayang Sofiyya binti Abdullah Ayu, Awang Muhammad Aaidun Alfian bin Abdullah dan Awang Abdul Azim Hadif bin Abdullah Jamelal.
