Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Telefon berbayar sebagai talian hayat

    PONNAGYUN – Di medan pertempuran berhampiran sungai di barat Myanmar, seorang usahawan berusaha mendapatkan isyarat menggunakan antena buluh buatan sendiri, di mana pondok telefon awamnya menjadi penyambung hayat bagi penduduk tempatan untuk berhubung dengan orang tersayang.

    Di ibu kota komersial Yangon, seorang pelajar menatal aplikasi-aplikasi yang menyamarkan identiti dalam taliannya supaya dia dapat mengelak larangan media sosial yang dikenakan selepas rampasan kuasa pada tahun 2021.

    Dan di kawasan pergunungan di bahagian timur negara itu, pelanggan-pelanggan di kafe Internet membaca berita luar dengan mengharapkan satelit milik Elon Musk.

    Perang saudara selama empat tahun antara tentera Myanmar dan puak penentang telah banyak memusnahkan rangkaian komunikasi.

    Sebagai tindak balas, orang ramai telah menggunakan kaedah dari yang lama hingga lebih moden.

    “Saya tidak mahu terputus daripada dunia,” kata Hnin Sandar Soe, 20, di sebuah kafe Internet di timur negeri Karenni di mana dia membaca tajuk utama, belajar dalam talian dan menghubungi rakan serta keluarga.

    “Ia sentiasa membuatkan saya teruja dan selesa untuk terus berhubung dengan mereka,” tambahnya.

    Gambar menunjukkan seorang lelaki bercakap melalui telefon di sebuah pondok telefon berbayar di Rakhine barat Myanmar pada 11 Mei. – AFP
    Gambar menunjukkan antena Starlink yang dikuasakan oleh panel solar di atas bumbung sebuah kedai di perbandaran Demoso di negeri Karenni timur Myanmar pada 25 Mei. – AFP
    Gambar menunjukkan antena yang dipasang pada buluh di pondok telefon berbayar di negeri Rakhine barat Myanmar pada
    11 Mei. – AFP
    Gambar menunjukkan papan tanda Startlink di sebuah kafe internet di perbandaran Demoso, Karenni, Myanmar pada 25 Mei. – AFP
    Gambar menunjukkan seorang jurujual menggunakan telefon bimbitnya di kedai pakaiannya di Yangon pada 26 Jun. – AFP
    Gambar menunjukkan seorang penjual menggunakan telefon bimbitnya ketika dia menunggu pelanggan di kedai pakaiannya di Yangon pada 26 Jun. – AFP

    TELEFON BERBAYAR

    Myanmar telah berada di bawah pemerintahan tentera untuk sebahagian besar sejarah pasca kemerdekaannya, namun tempoh pengukuhan demokrasi selama sedekad yang bermula pada tahun 2010 disertai dengan pertumbuhan sambungan Internet yang sangat pesat.

    Tahun itu, kad SIM berharga AS$1,000 dan kurang daripada lima peratus penduduk memiliki telefon bimbit, menurut angka Bank Dunia.

    Tujuh tahun kemudian, angka itu ialah 82 peratus, apabila terdapat peningkatan rakyat menggunakan rangkaian telefon dan pembaharuan terhadap kebebasan bersuara.

    Tetapi sejak tentera menggulingkan kerajaan awam dan mengakibatkan perang, terdapat penurunan angka tersebut disebabkan ketiadaan teknologi digital.

    Junta telah mengharamkan banyak aplikasi, konflik telah menghapuskan infrastruktur dan teknologi digital.

    Di negeri Rakhine barat, di mana perang saudara telah memperhebatkan konflik yang berlarutan, komunikasi yang boleh dipercayai kini hanya menjadi kenangan.

    Menyaksikan negeri jirannya mendaki bukit untuk mendapatkan isyarat mudah alih, Saw Thein Maung mengasaskan perniagaan telefon lama berbayar enam bulan lalu.

    Pada masa ini, dia mengendalikan tiga telefon berwayar ke antena pada tiang 10 meter di bandar delta Ponnagyun.

    Perniagaan itu memperoleh keuntungan relatifnya sehingga AS$23 sehari apabila para pelanggan mendesak untuk membuat panggilan ke luar.

    “Mereka tidak mahu berhenti bercakap dengan anak-anak mereka yang berada di tempat lain. Mereka tidak kisah berapa banyak yang mereka perlu bayar,” kata Saw Thein Maung.

    Pelanggan Tun Lin, 27, menggunakan telefon berbayar untuk menelefon kenalan penduduk bandar dan bertanyakan tentang peluang pekerjaan.

    “Membuat panggilan telefon adalah satu-satunya cara,” kata bekas pekerja pertubuhan bukan kerajaan yang menganggur itu.

    PENYELESAIAN SATELIT

    Kumpulan aktivis Projek Internet Myanmar (MIP) berkata, terdapat hampir 400 sekatan internet serantau sejak pengambilalihan junta.

    Apa yang dipanggil ‘rampasan kuasa digital’ telah memperlahankan tindak balas kecemasan, menghalang pendidikan dan menjejaskan ekonomi.

    “Orang ramai mengalami kesukaran akibat tindakan ini dan menambah kesengsaraan,” kata jurucakap MIP, Han. “Mereka sedang mencari pelbagai cara untuk menentang,” tambahnya.

    Di negeri Karenni, kafe Internet dengan penghala biru yang menyala menyediakan rangkaian, memintas sekatan dengan menambat ke sistem satelit Starlink Musk.

    Pihak junta tidak melesenkan teknologi itu, bermakna ia adalah dilarang untuk beroperasi.

    Pemilik kafe Marino telah menyeludupnya dari sempadan untuk disambung di kedainya, di mana pautan web adalah canggih.

    “Kami memerlukan Internet untuk mengetahui apa yang berlaku di negara kami atau dunia dan sama ada rakan kami berada dalam keadaan baik atau tidak,” katanya.

    Berdekatan kafe, seorang wanita tua berbual di telefonnya dan sekumpulan remaja bermain permainan dalam talian.

    MENGELAK RANGKAIAN DISEKAT

    Bandar utama di bawah kawalan junta mengekalkan Internet yang boleh dipercayai, tetapi Facebook, Instagram, X dan WhatsApp – semuanya diharamkan.

    Di Yangon, rangkaian persendirian maya (VPN) menyediakan cara untuk mengelak larangan tersebut.

    Selepas junta mula menyekat VPN tahun lepas, rangkaian tidak rasmi digunakan di seluruh bandar, dengan orang ramai berkongsi pilihan percuma yang masih berfungsi.

    Rangkaian untuk satu minggu yang terbaik ialah 1.1.1.1, sebelum JumpJumpVPN muncul menjadi lebih popular dan kemudian semua orang beralih ke Now VPN.

    Tetapi pasukan keselamatan junta kini menjalankan pemeriksaan mengejut untuk VPN, kata seorang pelajar berusia 23 tahun.

    “Negara lain mempunyai kebebasan Internet dan golongan muda boleh belajar dengan bebas,” katanya. “Ia berbeza di negara kami di mana segala-galanya dihadkan. Saya rasa hak kami disekat.”

    Dia tetap tidak berputus asa. “Kami orang muda mempunyai pemikiran bahawa kami akan mengatasi sebarang sekatan,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda