KUALA LUMPUR, 19 FEB – Huawei kelmarin melancarkan telefon boleh lipat tiga pertama di dunia, yang menurut penganalisis menandakan kemenangan simbolik bagi gergasi teknologi China itu di tengah sekatan teknologi dari Amerika Syarikat (AS). Namun, cabaran berkaitan harga, ketahanan, bekalan dan sekatan aplikasi mungkin mengehadkan kejayaannya.
Huawei berkata semasa acara pelancaran di Kuala Lumpur bahawa Huawei Mate XT, yang pertama kali diperkenalkan di China lima bulan lalu, walaupun dipanggil lipat tiga, telefon itu sebenarnya mempunyai tiga panel mini dan hanya dilipat dua kali.
Syarikat itu mendakwa bahawa telefon itu adalah yang paling nipis dalam kategori telefon lipat dengan ketebalan 3.6 milimeter (0.14 inci) dan skrin 10.2 inci, hampir serupa dengan Apple iPad.
“Pada masa ini, Huawei seolah-olah berdiri sendiri sebagai inovator dengan reka bentuk lipat tiga, kata Bryan Ma, Naib Presiden Penyelidikan Peranti di pasaran International Data Corporation.
Huawei mencapai kedudukannya itu walaupun tidak mendapat akses kepada cip, perkhidmatan Google dan banyak sekatan lain. Menurut Ma, masalah itu telah menjadi halangan besar kepada Huawei. “Namun, kebangkitan yang kita lihat sejak setahun lalu merupakan satu kemenangan besar,” tambahnya.
Huawei, jenama teknologi global pertama dari China, berada di tengah-tengah peperangan perdagangan dan teknologi antara AS dan China.
Washington pada 2019 memutuskan akses Huawei kepada komponen dan teknologi dari AS, termasuk perkhidmatan muzik Google dan perkhidmatan telefon pintar lain, menjadikan telefon Huawei kurang menarik kepada pengguna. AS juga melarang vendor global menggunakan teknologi AS untuk menghasilkan komponen bagi Huawei. – AP
