Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Telefon pintar Kim cetus spekulasi

    SEOUL, 13 JULAI – Ketika pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un memimpin pelancaran peluru berpandu balistik terbaharu dan paling berkuasa negaranya minggu ini, gajet berkilat kelihatan di atas mejanya, iaitu telefon pintar boleh lipat.

          Gambar yang dikeluarkan oleh akhbar rasmi Rodong Sinmun hari ini menunjukkan rupa telefon bimbit boleh lipat berwarna perak dalam sarung kulit hitam, mirip peranti Galaxy Z Flip Samsung atau telefon Huawei Pocket S China.

          Gambar daripada pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) bahan api pepejal Hwasong-18 semalam menimbulkan spekulasi mengenai asal-usul telefon itu.

          “Sekiranya objek dalam foto itu adalah telefon boleh lipat, kemungkinan besar ia diseludup secara rahsia ke Korea Utara melalui China,” lapor akhbar Korea Selatan, Joongang Ilbo.

          Korea Utara dilarang di bawah sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu daripada mengimport atau mengeksport peranti elektronik.

          Minat Kim terhadap peranti telah menjadi tanda tanya orang luar pada masa lalu.

          Dia telah digambarkan menggunakan apa yang kelihatan seperti produk Apple, termasuk iPad dan Macbook.

          Hanya sekitar 19 peratus penduduk Korea Utara dianggarkan mempunyai akses kepada telefon bimbit, menurut Buku Fakta Dunia Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS. – AFP

     

    Gambar serahan kerajaan Korea Utara menunjukkan Kim Jong Un menyaksikan ujian ICBM Hwasong-18 di satu lokasi rahsia di Korea Utara pada 12 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda