Salam sejahtera buat para pembaca ruangan istimewa ini. Aku sekadar ingin meluahkan kekhawatiran ku sejak dua minggu lalu, di mana aku masih ingat malam itu, seperti kebiasaannya kami sekeluarga berkumpul di ruang tamu selepas makan malam.
Namun, suasananya sunyi. Bukan kerana tiada perbualan, tetapi kerana semuanya sedang sibuk dengan telefon pintar masing-masing. Aku menoleh ke arah isteriku yang sedang membelek media sosial, sementara anak-anak pula tenggelam dalam dunia permainan video dan TikTok. Aku sendiri, tanpa sedar, turut leka membaca berita di telefon.
Malam itu, aku tersentak apabila anak bongsuku, Hana, bertanya, “Daddy, kenapa kitani duduk sama-sama tapi macam terasa jauh?”
Soalan itu menusuk hati. Aku terdiam. Bila kali terakhir kami benar-benar berbual, ketawa, dan menikmati masa bersama tanpa diganggu teknologi? Aku mula menyedari, walaupun telefon pintar memudahkan komunikasi, ia telah mengubah cara kami berinteraksi sebagai keluarga.
Fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing. Media sosial dan teknologi sememangnya menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita. Tetapi, aku mula perasan perubahan besar pada cara keluarga kami berfungsi. Makan malam yang dulu dipenuhi gelak tawa kini sunyi dengan setiap ahli keluarga menunduk pada skrin masing-masing. Anak-anak lebih tahu apa yang berlaku di media sosial berbanding cerita keluarga sendiri.
Adakah awda juga menghadapi masalah yang sama? Adakah kita sebenarnya telah membiarkan teknologi mengawal hidup kita se-hingga melupakan keindahan kebersamaan sebagai sebuah keluarga?
Zulhilman
NASIHAT DANG MP
Salam sejahtera dan terima kasih kepada Zulhilman kerana berkongsi dengan Media Permata.
Fenomena ketagihan teknologi di kalangan kanak-kanak malah dewasa sudah semakin menular dalam kehidupan seharian kita. Pada dasarnya, telefon pintar dan media sosial memudahkan banyak perkara, tetapi tanpa disedari, ia juga mengubah cara kita berinteraksi dan menikmati masa bersama. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan keluarga, tetapi juga kepada nilai-nilai komunikasi yang sebenarnya sangat penting untuk perkembangan kanak-kanak.
Hana sememangnya telah bertanyakan soalan yang bagus kepada awda. Ia menunjukkan betapa kita, walaupun duduk bersama, sebenarnya terpisah oleh teknologi.
Sebagai ibu bapa, kita kini sedar bahawa kehadiran fizikal anak-anak tidak sama dengan kehadiran emosional. Waktu bersama keluarga yang berkualiti lebih penting daripada sekadar duduk berdekatan tanpa berinteraksi.
Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi dengan bijak. Dang MP ingin mencadangkan beberapa langkah antaranya adalah menetapkan jadual yang jelas kepada anak-anak tentang tempoh penggunaan telefon pintar di rumah. Sebagai contoh, hanya satu jam sahaja setiap hari selepas waktu makan ataupun setelah selesai kerja rumah sahaja.
Awda juga boleh banyakkan lagi aktiviti bersama keluarga seperti beriadah di luar rumah bersama-sama.
Cubalah bermain badminton, berbasikal atau sekadar berjalan-jalan di taman. Gunakan waktu berkualiti sedemikian untuk berbual dengan anak-anak.
Yang paling penting adalah ibu-bapa juga hendaklah menunjukkan teladan yang baik. Ini bermakna ibu-bapa perlu mengurangkan masa menggunakan telefon pintar kecuali atas urusan penting dan lebihkan berinteraksi sesama ahli keluarga.
Anak-anak membesar dengan meniru perbuatan ibu-bapa mereka. Sekiranya kita melarang penggunaan telefon pintar di kalangan anak-anak, kita juga haruslah mengurangkan tabiat tersebut terlebih dahulu.