Wednesday, December 25, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Telegram buat pertama kali catat keuntungan AS$1 bilion

    DUBAI, 24 DIS – Pengasas dan ketua eksekutif aplikasi pemesejan Telegram, Pavel Durov berkata semalam platform itu telah mencatatkan keuntungan bersih buat kali pertama pada 2024, dengan pendapatan tahunan melebihi AS$1 bilion.

    “Seperti yang saya ramalkan, 2024 ternyata menjadi tahun yang sangat baik untuk Telegram. Buat pertama kali dalam sejarah kewangan selama 3 tahun, Telegram mencatat keuntungan,” umum Durov di saluran Telegramnya.

    Aplikasi pemesejan itu, yang mengatakan ia mempunyai lebih 950 juta pengguna di seluruh dunia, sebelum ini beroperasi tanpa bayaran tetapi mula menawarkan langganan berbayar dan memaparkan iklan pada 2021.

    Durov berkata langkah itu telah membantu mencapai pendapatan melebihi AS$1 bilion, dengan pelanggan perkhidmatan premium aplikasi meningkat tiga kali ganda kepada 12 juta.

    Telegram yang beribu pejabat di Dubai mempunyai lebih daripada AS$500 juta rizab tunai, tidak termasuk aset mata wang kripto, kata Durov.

    Syarikat itu nampaknya tidak menerbitkan sebarang akaun tahunan untuk mengiringi kenyataan Durov.

    Pada Ogos, Durov yang dilahirkan di Rusia telah ditangkap di Perancis dan didakwa kerana gagal mengawal kandungan ekstremis dan haram di Telegram.

    Pada September, jutawan berusia 40 tahun itu mengkritik pihak berkuasa Perancis dan menyebut pendekatan mereka sebagai salah. – AFP

    Gambar BBC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda