JAKARTA, Indonesia, 16 Julai – Aplikasi pesanan ringkas yang dienkripsi, Telegram sedang membentuk sebuah pasukan moderator yang mengetahui budaya dan bahasa Indonesia agar ia boleh menghapuskan ‘kandungan berkaitan pengganas’ dengan lebih cepat, menurut pengasas bersamanya hari ini, selepas Indonesia membatasi penggunaan aplikasi itu dan mengancam tegahan sepenuhnya.
Pavel Durov bersama abangnya Nikolai mengasaskan aplikasi ini pada tahun 2013 berkata dalam satu pesanan ringkas kepada 40,000 pengikutnya di Telegram bahawa dia tidak menyedari tentang kegagalan untuk dengan pantas memberi respons kepada permintaan kerajaan Indonesia supaya menyekat sebilangan saluran yang menggusarkan – kumpulan sembang di aplikasi – tetapi kini membetulkan keadaan.
Kementerian Perhubungan dan Teknologi Maklumat Jumaat lalu berkata ia sedang membuat persiapan bagi penutupan sepenuhnya Telegram di Indonesia, yang mana ia mempunyai tujuh juta pengguna, jika ia tidak membentuk prosedur untuk menyekat kandungan menyalahi undang-undang.
Sebagai langkah sebahagian ia meminta syarikat Internet di negara di dunia yang paling ramai penduduk beragama Islam supaya menyekat kemasukan ke 11 alamat yang menawarkan versi sesawang Telegram.
Samuel Pangerapan, ketua pengarah aplikasi maklumat di kementerian itu berkata aplikasi itu digunakan untuk merekrut rakyat Indonesia menyertai kumpulan militan dan untuk menyebarkan kebencian dan kaedah untuk melancarkan serangan yang termasuklah pembuatan bom. – AP
