Sunday, July 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Telegram, xAI jalin kerjasama laksana program AI Grok

    NEW YORK, 29 MEI – Telegram telah menjalin kerjasama dengan syarikat kecerdasan buatan (AI) milik Elon Musk, xAI, untuk menyediakan program AI generatif Grok di platform pemesejan itu selama setahun, umum Ketua Pegawai Eksekutif Telegram kelmarin.

    Sebagai pertukaran untuk pelaksanaan Grok di seluruh platform Telegram, syarikat itu akan menerima sebanyak AS$300 juta dalam bentuk tunai dan ekuiti, serta 50 peratus hasil langganan xAI yang dijual melalui Telegram, menurut pengumuman Ketua Telegram, Pavel Durov, di platform X.

    Menurut Durov, Grok dijangka boleh diakses di Telegram menjelang musim panas tahun ini.
    Walaupun terma perjanjian itu kelihatan tidak seimbang, transaksi tersebut membolehkan xAI yang pada akhir Mac lalu memperoleh platform X milik Musk untuk mengakses pangkalan pengguna Telegram yang dianggarkan melebihi satu bilion pengguna.

    Syarikat AI generatif kini sedang giat memperluas jumlah pengguna bagi mendapatkan semula hasil pulangan selepas pelaburan besar dalam teknologi canggih tersebut.

    xAI pada Februari lalu turut melancarkan versi terkini chatbot, iaitu Grok 3 dan Musk berharap dapat bersaing dalam pasaran sengit yang turut melibatkan ChatGPT serta DeepSeek dari China.

    Grok 3 juga menjadi saingan kepada ChatGPT milik OpenAI yang menyaksikan Musk dalam persaingan secara langsung dengan bekas rakan kerjasama yang kini menjadi seteru, Sam Altman. – AFP

    Gambar ini menunjukkan Elon Musk dan logo Grok semasa beliau mmbuat pengumuman untuk meninggalkan jawatannya dalam kerajaan AS pada 13 Januari. -AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda