BEIJING, 31 MAC – FAST, teleskop radio terbesar di dunia yang berdiameter 500 meter dibuka secara rasmi kepada dunia bermula hari ini.
Berpandukan prinsip langit terbuka, FAST yang digelar ‘mata langit China’ itu mengalu-alukan permohonan pencerapan saintis dari seluruh dunia.
Menurut laporan, kesemua program permohonan dalam dan luar negeri akan diteliti serta diperiksa secara bersama.
Difahamkan, pendaftaran kali ini adalah permohonan pemerhatian bagi program bebas, manakala masa yang ditetapkan untuk mencerap tidak melebihi 100 jam.
Selain itu, hasil penilaian permohonan akan diumumkan secara terbuka pada 20 Julai depan, dengan masa pemerhatian dijadualkan bermula Ogos.
Sejak mendapat kelulusan ujian peringkat negara pada awal tahun lalu, FAST beroperasi dengan lancar serta berjaya menemukan lebih 300 buah pulsar. – Bernama