Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teleskop radio terbesar dunia mula dibina

    SYDNEY, 5 DIS – Projek saintifik terbesar abad ini, Square Kilometre Array (SKA) yang merupakan teleskop radio terbesar dunia, memulakan fasa pembinaannya di gurun Australia dan dijangka siap pada 2028.

    Selepas tiga dekad dalam pembangunan, Organisasi Saintifik dan Penyelidikan Industri Komanwel (CSIRO) hari ini melancarkan fasa pembinaan teleskop itu di Barat Australia.

    Ia merupakan kolaborasi antara 16 negara, dengan SKA pada awalnya terdiri daripada dua objek iaitu SKA-Low di Barat Australia dan SKA-Mid di kawasan Karoo, Afrika Selatan, dioperasikan oleh SKA Observatory (SKAO), menurut laporan Xinhua.

    Apabila siap kelak, SKA-Low yang terdiri daripada 130,000 antena akan berupaya memetakan angkasa 135 kali lebih pantas berbanding teleskop sedia ada.

    SKA juga akan membolehkan ahli astronomi mengimbas kembali sejarah awal alam semesta semasa bintang dan galaksi pertama kali terbentuk.

    Ia merupakan projek sains mega pertama dihoskan di Australia dan dijangka memacu perkembangan teknologi signifikan dalam tempoh lebih 50 tahun jangka hayatnya.

    Teleskop itu juga dijangka dapat mengesan isyarat radio yang sangat samar yang datang dari sumber kosmik berbilion tahun cahaya dari Bumi, termasuk isyarat yang dipancarkan dalam beberapa ratus juta tahun pertama selepas ‘Big Bang’. – Xinhua

    Gambar serahan Jabatan Industri Sains dan Sumber-sumber Australia menunjukkan gambaran artis stesen-stesen yang membentuk teleskop SKA di Barat Australia. Pembinaan teleskop terbesar dunia itu sudah pun bermula. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda