WASHINGTON, 31 JAN – Sebuah teleskop besar yang dibina di kemuncak pulau Hawaii telah mengeluarkan gambar permukaan Matahari dalam butir-butir terperinci, mendedahkan sel plasma mendidih bersamaan dengan saiz Texas.
Untuk pengarah teleskop, ia hanya satu permulaan.
Matahari adalah bebola besar plasma yang telah diawasi dari Bumi selama beberapa abad daripada teleskop, dan menerusi satelit berdekad-dekad lamanya.
Namun resolusi adalah terhad: teleskop angkasa lepas Jepun Hinotori mempunyai cermin sebesar 20 inci.
Teleskop Solar Daniel K. Inouye baharu di pulau Maui mempunyai cermin 13 kaki, yang terbesar di dunia untuk teleskop solar.

“Imej berkenaan mempunyai resolusi tertinggi yang pernah anda lihat,” kata Thomas Rimmele, pengarah teleskop.
“Sekarang kami boleh melihat struktur yang kami syaki wujud, berdasarkan model komputer, tetapi kami tidak mempunyai resolusi untuk melihatnya,’ tambah ahli astronomi Jerman berusia 60 tahun itu.
Gambar pertama yang disiarkan pada Rabu menunjukkan pola plasma didih yang menutup Matahari dalam struktur seakan-akan sel. Ia adalah hasil pergerakan hebat membawa haba daripada bahagian dalam bintang ke permukaannya.
Plasma panas itu naik dalam pusat sel, menjadi sejuk dan seterusnya tenggelam di bawah permukaan dalam satu proses yang dipanggil perolakan.
Teleskop itu dilancarkan pada 10 Disember selepas dibina selama sembilan tahun.
“Ia benar-benar satu saat yang mengharukan, saya berasa sungguh gembira,” kata Rimmele, yang menyertai projek itu 25 tahun lalu sebelum menjadi pengarahnya.
Memandangkan teleskop itu menumpu cahaya matahari di kawasan kecil, ia mengeluarkan jumlah haba yang amat besar.
“Ia amat panas di sana, anda boleh meletakkan besi di sana dan ia cair dalam masa amat singkat,” kata Rimmele. – AFP