WASHINGTON, 12 JULAI – Pandangan manusia mengenai alam semesta akan berubah tidak lama lagi, apabila Teleskop Angkasa James Webb, dipasang di orbit, telah mendedahkan imej paling jelas setakat ini tentang alam semesta awal, sejak 13 bilion tahun, kata agensi angkasa Amerika Syarikat (AS), NASA, kelmarin.
Gambar menakjubkan yang disiarkan semasa taklimat oleh Presiden Joe Biden di Rumah Putih menunjukkan ribuan galaksi dan memaparkan beberapa objek yang samar, dalam warna biru, jingga dan putih.
Dikenali sebagai Medan Dalam Pertama Webb, ia menunjukkan gugusan galaksi SMACS 0723, yang berfungsi sebagai kanta graviti, melenturkan cahaya dari galaksi yang berada pada jarak jauh menuju ke pusat pemerhatian, dalam efek kosmos yang mengagumkan.
Alat imej utama Webb, NIRCam, yang beroperasi dalam spektrum gelombang inframerah kerana cahaya dari alam semesta awal telah diregang pada masa ia sampai kepada kita – mendorong latar belakang galaksi yang samar itu dapat dilihat dengan jelas.
Webb mengumpulkan gambar komposit dalam masa 12 setengah jam, satu pencapaian yang lebih baik berbanding hasil yang dicatat oleh Teleskop Angkasa Hubble sebelumnya dalam beberapa minggu.
“Menakjubkan – galaksi demi galaksi,” beritahu pengerusi jabatan astronomi di Universiti Cornell, Jonathan Lunine kepada AFP, ketika meraikan berita gembira itu bersama seluruh komuniti astronomi global.
“Walaupun gambar adalah yang paling jauh boleh dilihat oleh Webb, ia adalah imej paling jelas pernah diambil, dan menunjukkan kemampuan teleskop itu; amat sensitif, jarak gelombang yang lebih lebar serta kualiti imej yang jelas,” katanya.
Profesor astronomi di Harvard, Avi Loeb, menjelaskan gerbang warna kemerah-merahan itu adalah galaksi kuno, sementara bulatan dan elips yang bercahaya tergolong dalam gugusan galaksi yang terbaharu di depan. – AFP
