BATU KAWAN, 20 JULAI – Kaum Kayan, iaitu satu daripada etnik peribumi utama di pedalaman Sarawak yang terkenal dengan tradisi unik memanjangkan cuping telinga yang menjadi simbol kecantikan, status dan identiti budaya diwarisi turun-temurun.
Tradisi dikenali sebagai ‘telinga panjang’ itu lazimnya menjadi amalan kaum wanita Kayan sejak usia muda dan prosesnya melibatkan pemakaian anting-anting logam berat atau cincin tembaga yang secara perlahan-lahan memanjangkan cuping telinga.
Pada Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 di perkarangan Stadium Batu Kawan, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) membawakan Kaum Kayan di Rumah KAMI (rumah etnik) bagi memperkenalkan budaya, tradisi, pakaian dan makanan tradisional mereka.
Wakil Kaum Kayan, Monica Puyang Ayek, 62, yang ditemui Bernama di Rumah KAMI berkata mereka teruja untuk memperkenalkan kaum Kayan pada SMP tahun ini, terutama kepada pengunjung dari Semenanjung.
Beliau berkata komuniti Kayan mudah dikenali melalui pakaian tradisional mereka yang menarik dan unik serta diperbuat daripada manik-manik halus dan berwarna-warni, dijahit mengikut ukiran ikeng yang mempunyai nilai estetika tersendiri.

“Pakaian ini biasanya dipakai semasa majlis perkahwinan, upacara menyambut tetamu kehormat dan keramaian, kami juga terutama kaum wanita terkenal kerana memiliki telinga yang panjang dan bertatu sejak dahulu kala.
“Jarang-jarang kaum Kayan dibawa ke Semenanjung dan kami juga bawakan makanan tradisional ‘pitoh’, iaitu pulut yang dibungkus guna daun palem, kenen tapei (nasi yang dibungkus dalam daun), dinoh (kuih tradsional pulut goreng) dan laho yang merupakan hidangan beras dibungkus dalam daun pisang,” katanya sambil menambah semua makanan itu dibawa dari Miri, Sarawak.
Monica berkongsi Kayan juga kaya dengan pelbagai alat muzik unik termasuk yang popular sehingga kini, iaitu Sape, diperbuat daripada kayu dengan ukiran motif asli dan dikenali sebagai ikeng yang memiliki tiga hingga empat tali diperbuat daripada dawai halus.
Sementara itu, wakil kaum Bisaya, Siti Sulaimin berkata mereka ‘menerbangkan’ tarian Liliput, iaitu tarian tradisional yang ditarikan secara berpusing-pusing dan berasal dari suku kaum itu terutamanya di Beaufort, Sabah. – Bernama