JERICHO, WILAYAH PALESTIN, 17 SEPT – Pertubuhan kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) telah memasukkan ‘tapak prasejarah Tell al-Sultan’ yang terletak berhampiran bandar Jericho di Tebing Barat ke dalam Senarai Warisan Dunia, menurut kenyataan daripada UNESCO, hari ini.
Keputusan itu yang dimaklumkan melalui laman X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, dibuat semasa mesyuarat jawatankuasa warisan dunia ke-45 UNESCO yang berlangsung di Riyadh.
“Tapak prasejarah yang dicadangkan untuk penamaan ini adalah tapak arkeologi purba Tell al-Sultan, terletak di luar tapak purba Jericho,” kata Penolong Ketua Pengarah UNESCO, Ernesto Ottone, dalam sesi untuk memasukkan tapak itu ke dalam Senarai Warisan Dunia.
“Tiada sisa-sisa agama Yahudi atau Kristian di tapak ini. Ini adalah tempat yang mempunyai sisa-sisa zaman prasejarah,” beritahu seorang diplomat UNESCO yang enggan dikenali itu kepada AFP.
Tapak itu dimasukkan selepas tiga tahun pencalonan “tanpa sebarang bantahan daripada mana-mana pihak negara,” katanya.
Israel meninggalkan pertubuhan PBB pada 2019 atas tuduhan bahawa ia memupuk sikap yang menentang Israel.
Penyenaraian UNESCO menunjukkan tapak Tell al-Sultan adalah “sebahagian daripada warisan Palestin yang penting dan mempunyai nilai kemanusiaan unik,” kata Menteri Pelancongan Palestin, Rula Maayah, yang menghadiri mesyuarat di Riyadh, dalam satu kenyataan. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/09/P12-A-web-AP_18092023.jpg)