NITZANA, ISRAEL, 13 JAN – Telur burung unta dianggarkan berusia lebih 4,000 tahun telah ditemui di Israel, umum ahli arkeologi baru-baru ini, yang memberikan gambaran kepada cara hidup orang purba di rantau itu.
Lapan biji telur yang telah hancur itu ditemui dalam bentuk serpihan di gurun Negev, Nitzana, berhampiran sempadan Mesir.
“Ia ditemui berhampiran dengan lubang api yang merupakan sebahagian daripada tapak perkhemahan yang digunakan oleh orang nomad sejak zaman prasejarah,” kata Lauren Davis, pengarah penggalian Pihak Berkuasa Antikuiti Israel (IAA).
Ia berada berdekatan dengan api bersama batu-batuan, batu api, peralatan dan cebisan tembikar secara tidak langsung menandakan telur-telur itu akan dimasak, kata Davis.
Burung unta liar pernah berkeliaran di kawasan itu sehingga ia menjadi pupus pada abad ke-19, menurut IAA.
Bagi Davis, telur-telur tersebut mampu memberikan petunjuk kepada cara hidup orang purba, yang tidak memberikan banyak bukti fizikal yang berkekalan.
“Walaupun orang nomad tidak membina struktur kekal di tapak ini, penemuan ini membantu kami untuk merasai kehadiran mereka di gurun ini,” kata Davis. – AFP