Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Telur sebiji

    (Siri 2)

    Oleh Dino MN –

    Riuh sekampung. Berita jamuan secara besar-besaran itu meletup dan sudah menjadi buah mulut orang-orang kampung. Tersedia di ruang depan bilik tamu yang luas kira-kira sebesar saiz padang bola. Meja-meja diatur begitu rapi.

    Meja bulat yang boleh menampung 10 orang untuk duduk. Dia tidak perlu menggunakan khidmat katering. Nasi yang akan dimasaknya adalah berskala besar. Kira-kira 10 kawah besar. Dia tidak perlu menyediakan bahan makanan yang lain. Setiap jemputannya dikenakan bayaran 15 sen. Mengikut senarai lebih dari 1,800 orang yang mendaftar ikut menjamu selera yang luar biasa harganya. Semua orang mahu merasa dan ingin tahu apa yang jadi dengan hidangan berharga 15 sen itu.

    “Sudah selesai semuanya?” tanyanya kepada pembantu rumahnya.

    “Sudah tuan. Nasi sudah masak semuanya dan sudah diletakkan atas meja,” jawab pembantu rumahnya.

    “Ok, kita hanya menunggu kedatangan pelanggan yang menempah,” katanya.

    Gambar Unsplash

    “Tapi tuan, mengapa sayur dan daging belum ada?” dia kehairanan, sangat-sangat berasa hairan. Acara makan akan diadakan tidak lama lagi.

    “Tenang saja. Kamu buat kerja kamu dengan baik,” katanya kepada pembantunya.

    Dua hari yang lalu pencarian sebiji telur yang hilang secara misteri itu sudah terjawab.

    Semasa dia masuk ke bilik dapur yang seluas 100’ x 100’ itu, didapatinya telur sebiji itu aman dalam bakul bercampur bawang-bawang yang besar di sudut bersebelahan pintu masuk ke dapur itu. Tidak siapa yang dapat menjawab kenapa telur itu berada di situ.

    Dia menyuruh pembantunya menyediakan satu perimpan (periuk) besar yang garis pusatnya 10’ untuk diisi penuh dengan air. Katanya dia sendiri yang akan memasak telur sebiji itu untuk orang-orang yang akan datang nanti.

    Suasana riuh bunyi suara manusia yang datang ke majlis makan yang luar biasa itu mula kedengaran. Pelayannya cuma seorang, pembantu rumahnya yang bertungkus lumus mengatur pelanggannya untuk duduk di meja bulat yang tersedia untuk 10 orang. Semua orang yang sudah dapat tempat duduk tidak lagi bergerak dari tempat duduknya takut akan diduduki oleh orang lain. Bunyi suara pun mulai reda kerana telah mendapat tempat duduk masing-masing.

    “Sudah jam berapa sekarang?” tanya seseorang di meja paling tepi sekali.

    “Maaf, saya tidak bawa jam tadi sebab terlupa kerana terlalu bergegas datang ke sini,” sahut seorang lelaki kurus yang duduk di sebelah meja di tepi itu.

    “Saya lagi awal satu jam sedia takut kelewatan sampai. Inikan acara makan luar biasa.

    “Sama macam saya. Iski (suka) jua hati dengan promosi harga yang luar biasa ini.

    “Saya pula bawa anak-anak dan cucu-cucu. Saya tempah tiga meja, semua anak cucu ikut,” kata seorang suri rumah tangga yang berbadan gemuk gedempol menyampuk cerita.

    Semua yang hadir sudah berasa gelisah menanti bila bermulanya pesta makan makanan istimewa itu. Makan makanan yang luar biasa pada harga yang luar biasa juga.

    “Pasti kita semua beruntung hari ini.

    “Ya, jelas sekali. Pastilah kita menjadi manusia pertama yang beruntung dengan makan makanan yang cuma berharga 15 sen. Kita boleh bayangkan keenakan juadahnya.”

    Pembesar suara tiba-tiba berdentum umpama bunyi mercun yang begitu kuat. Semua pengunjung di tempat itu, yang datang ingin menikmati hidangan luar biasa itu terkejut.

    Suasana menjadi sunyi seketika. Semua mata tertumpu dan terarah kepada yang memberikan ucapan. Sekian lamanya menunggu arahan untuk menikmati jamuan, tetamu yang tadinya diam mendengar ucapan itu mulai bersuara sesama sendirinya. Suasana menjadi riuh dan gemuruh persis bunyi sekawan itik yang bebas dari reban berebutan untuk menikmati makanan yang disediakan oleh tuannya.

    “Buat apa bercakap lama-lama. Kami mahu makan, bukan mendengar syarahan,” katanya bercampur geram di dalam hati.

    “Betul, perut sudah mula berkeroncongan,” sahut kawannya yang duduk berhadapan dengannya.

    Ucapan tidak lagi dihiraukan, masing-masing dengan hujahnya. Dan dengan tidak menghiraukan bunyi riuh dan gemuruhnya menjemput para tetamunya menikmati hidangan. Orang yang mendengar ucapan itu dengan segera membuka hidangan yang terhidang di atas meja mereka. Pengunjung lainnya pun ikut-ikutan membuka penutup hidangan di meja masing-masing. Bunyi sudu dan piring berlaga sesamanya bersahut-sahutan umpama kelintingan di sawah ditarik untuk menghalau pipit.

    “Apa namanya masakan.

    “Cuma makan nasi dengan telur sebiji dibuat sup.

    “Mana ada telurnya, penipu besar, apa istimewanya makanan ini?

    “Mana janji hidangan enak ini?”

    Seketika tu juga setiap orang yang duduk di meja itu berteriak sekuat hati melaungkan rasa kesal dan benci mereka.

    Sebiji piring melayang terbang di ruang bilik tamu yang luasnya seluas padang bola sepak itu disertai pekikan dan teriakan yang mengutuk penganjur jamuan itu yang menjanjikan hidangan teristimewa. Sebelum piring itu turun mendarat di lantai, sebiji gelas pula ikut terbang dan menghentam piring yang terbang tadi maka berlakulah bunyi piring dan gelas berlaga dentuman yang amat kuat. Pecahlah kedua-duanya dan berseraklah kaca dari piring dan gelas yang terbang tadi.

    Pengunjung yang lain terus pula ikut-ikutan melempar piring dan gelas mereka. Seluruh pengunjung menjadi marah dan mula membenci penganjur jamuan di bilik tamu yang luas itu. Ruang bilik tamu yang luas itu penuh serpihan butiran kaca umpama ketulan kristal ditambah sinaran lampu yang beraneka.

    Seorang daripada pengunjung itu yang berbadan sederhana melompat menyambar mikrofon langsung bersuara keras.

    “Saya mahu tahu dan semua orang ingin tahu,” dia berhenti seketika memandang kepada semua yang hadir di situ. Pengunjung pula terus berhenti bercakap. Kemudian dia menyambung lagi.

    “Kami sudah membayar 15 sen, tapi hidangan cuma nasi dengan air sup telur sebiji tidak ada rasa apa-apa melainkan rasa perasa dan garam, terlalu masin.

    “Jika dinilai harga jamuan ini, saya kira 7 sen sahaja,” katanya.

    Pengunjung lain riuh kembali dan mengiakan kata-kata lelaki yang berucap tadi. Seorang wanita lawa berlari ke depan dan menyambar mikrofon dari lelaki tadi dan terus berucap.

    “Ayuh jangan jadi ribut taufan. Mari kita bermukun, dia melompat di atas meja bulat seperti atas pentas dan terus berpantun. Orang ramai bersorak bertepuk tangan walau tiada alat bunyi-bunyian.

    Maka berpantunlah dia. Yang lain berjoget berpasang-pasangan. Yang tua mencari pasangan gadis remaja. Yang punya bini pula mencari pasangan bini orang sebagai kawan berjoget. Para isteri pun tidak tinggal diam. Mereka pun mencari suami orang untuk teman berjoget bergembira. Laki bini semua rela merelakan. Majlis jamuan itu berubah corak.

    Semua yang hadir riuh bertempik sorak.

    Di sudut dapur pula ada lima orang yang berbadan tegap membalikkan perimpan yang penuh dengan air kuah telur sebiji menyebabkan lantai dapur tersebut kebanjiran. “Biar dia rasa akibat penipuannya pada kita.

    “Mana ada jamuan sebegini rupa, kita telah diperbodohkan,” kata salah seorang daripada mereka dengan penuh geram. Selepas itu, mereka berlima membawa perimpan itu masuk ke ruang jamuan yang riuh dengan tempik sorak dan tempat para jemputan berjoget.

    “Ooohaaa,” serentak suara berlima itu langsung disambut dengan ‘ooohaaa’ juga daripada orang ramai.

    Yang seorang terus memalu perimpan besar itu dengan sebatang kayu lapan kaki mengikut irama pantun mukun menyubuh serta gerak tari mereka yang berjoget. Suasana bertambah seru.

    Rupanya satu pasukan lain telah diam-diam memikul kawah besar dan terus masuk memukul kawah itu seperti gong yang juga mengeluarkan bunyi irama mukun menyubuh.

    Semua mereka terus bersorak, ketawa riang hingga melupakan kelaparan mereka. Ada yang lain memukul piring dan gelas mengiringi rentak mukun menyubuh. Tuan punya majlis terduduk tidak terkata lagi sambil memikirkan kerugian yang dialaminya.

    Seketika itu juga seluruh rumah besar itu sudah dikepung dan diserbu oleh pihak polis. Tuan penganjur majlis yang luar biasa itu ditangkap dan dibawa ke balai polis.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...