(Siri 5)
Oleh Dino MN –
Riuh sekampung. Betul-betul gempar. Lebih setahun berlalu, kisah itu sudah terkubur dalam ingatan penduduk kampung. Haji Mahmud yang didakwa dengan 100 kesalahan kerana menganjurkan majlis yang luar biasa besarnya yang hanya cuma menghidangkan masakan telur sup rebus sebiji dengan air penuh seperimpan yang besar garis pusatnya 10 kaki, masih lagi menunggu-nunggu hukuman yang belum lagi diumumkan oleh pendakwa raya.
Sebelum perbicaraannya, Haji Mahmud sempat melaporkan akan kehilangan anaknya tiga hari setelah peristiwa majlis yang diadakannya yang menimbulkan huru-hara itu.
“Aku tidak tahu bila masa anak saya hilang, cuma saya sedari setelah tiga hari dia tidak balik ke rumah,” kata Haji Mahmud menjawab pertanyaan dari pihak polis. Pihak polis terus menyiasat dengan gigihnya keberadaan anak gadis Haji Mahmud yang akhirnya menemui kegagalan.
Kini berita itu timbul semula lebih hangat lebih hebat daripada cerita awalnya.
“Aku dengar anak gadis yang dulu hilang dengan tiba-tiba, sekarang sudah muncul, sudah balik ke rumah ibu bapanya.

“Kampung sebelah sana riuh betul. Macam tidak percaya saja.
“Kalau mereka masih ragu tak percaya, mereka boleh datang ke kampung itu… tanya… lihat betulkah tidak.”
Sejak dia balik ke rumahnya, dia seolah-olah hilang ingatan. Duduk murung tidak mahu berkata-kata. Dia terus membisu bila ditanya, ditegur dan diberi makan minum jua dia ketepikan. Dia tidak mahu itu semua. Raut tubuh badannya sudah tidak semontok dulu lagi. Sudah berubah. Wajahnya tidak seayu dulu lagi. Kawan-kawan gadisnya dulu sudah ada yang tidak begitu mengenalinya kalau tidak melihat lebih hampir. Kalau dikira jarak waktu setahun tentu tidak akan membawa perubahan yang ketara tapi bagi anak gadis yang hilang secara tiba-tiba dari kampungnya dan datang juga secara tiba-tiba itu mengalami perubahan besar.
Pasukan polis yang dulu menerima laporan kehilangan anak gadis itu datang ke rumah keluarga anak gadis itu untuk mengambil laporan dan menyiasat akan kejadian yang luar biasa itu. Tapi pihak polis mengalami kesukaran untuk mendapatkan keterangan daripada anak gadis itu kerana dia tetap membisu dan tidak mahu menjawab sebarang pertanyaan dari pihak polis.
Ramai orang-orang kampung datang ingin melihat dan memastikan cerita sebenar.
“Memang keadaannya jauh berbeza. Dulu badannya montok gebu, kini badannya sudah susut.
“Rambutnya tidak terurus, kusut masai.
“Benar, sungguh benar, orang-orang ada cakap… Persis orang gila.
“Kasihan betul saya mendengar kisahnya.
“Bapanya juga sudah tidak menentu apa yang mahu dibuatnya sekarang. Dua hari yang lalu, pihak polis datang untuk membuat siasatan. Pihak polis terpaksa balik tanpa mendapat sebarang maklumat yang diperlukan.”
Begitulah riuhnya orang menceritakan hal anak gadis itu. Sekarang saja sudah lebih tiga bulan peristiwa kembalinya anak gadis itu. Cerita itu juga beransur pudar dari keriuhannya.
Pihak polis sudah tidak lagi membuat siasatan kerana kes itu dikira orang hilang balik semula.
Anak gadis itu pula merasai aman kerana tidak ada gangguan dari orang ramai yang sering berkunjung ke rumah mereka. Sesekali dia keluar ke ruang dapur untuk memasak. Dia tidak berani keluar rumah takut kalau ada orang-orang kampungnya datang dan melihat keadaannya. Dia sangat berhati-hati menjaga keadaan dirinya dan keluarga. Pada mula dia balik ke kampungnya, dia sengaja berlakon macam orang tidak siuman. Rambutnya sengaja tidak diurus rapi seolah-olah orang yang kehilangan akal. Ini semua perancangan belaka demi menjaga kedudukan sebenarnya.






