(Siri 6)
Oleh Dino MN –
Riuh sekampung. Kembali lagi berita di kampung itu yang menggemparkan ke seluruh kampung yang berjiran dengan kampung yang dulunya mencetuskan khabar kehilangan anak gadis dari rumah sehingga menyulitkan pihak polis menjejaki keberadaan anak gadis tersebut.
Menjelang setahun berlalu, tiba-tiba anak gadis itu muncul lagi ke kampungnya dan pihak polis sekali lagi mendekati keluarga anak gadis itu bagi menyelesaikan kes kehilangannya dulu. Juga mengalami kegagalan.
“Bolehkah saudari tunjukkan alamat rumah tuan Haji Mahmud? Kami ingin ke rumahnya,” tanyanya kepada gadis yang kebetulan lalu di situ.
“Oh, boleh tuan haji,” katanya pendek.
“Tuan haji ini siapa?
“Saya ni Haji Samat, sahabat lama Haji Mahmud. Lama kami tidak jumpa. Rasa teringin jua menjenguknya.
“Anak ini siapa pula namanya ya?” Tanyanya kepada gadis yang ditemuinya.
“Saya Era tuan haji,” jawabnya pendek.
“Ooo, yang anak kecil ini cucu Tuan hajilah?” Tanyanya.
“Oh, bukan. Ini cucu Haji Mahmud. Dulu anak gadisnya ke rumah saya, katanya bercerai dengan suaminya. Di rumah sayalah dia melahirkan.”
Tercengang Era anak gadis tempat dia bertanya. Haji Mahmud cuma ada seorang anak gadis yang pernah hilang dan kini kembali lagi ke rumahnya.
“Kalau begitu tunjukkan alamat rumah Haji Mahmud.”
Mereka berjalan dipandu oleh Era untuk menuju ke rumah Haji Mahmud. Setelah rumah Haji Mahmud kelihatan, Era berhenti dan menyuruh Haji Samat ke sana sama isterinya yang mengendong anak damit.
“Dari mana kau dapat berita yang belum tentu benar ini, Era?” kata seorang daripada mereka.
“Ini cerita betul. Betul-betul terjadi,” kata Era meyakinkan kawan-kawannya.
“Cerita lama dulu pun belum ada penyelesaiannya. Ini kau bawa cerita baru lagi yang susah dipercayai.
“Demi Allah, begitulah cerita yg diceritakan oleh Haji Samat pada saya.”
Di rumah besar Haji Mahmud, anak gadis Haji Mahmud berhias di biliknya. Merapi dirinya yang selama ini jauh dari dunia sekeliling. Diamat-amatinya sosok badannya jauh berbeza dari dulu.
Kadang-kadang dia menangis sendirian bila mengenang dirinya yang selama ini tersembunyi di lubuk hatinya.
Peristiwa yang menyayat hati itu yang ingin dikuburkannya ternyata tidak dapat dibenamkannya lagi. Setiap hari jejak-jejak yang dulu yang ingin dihapuskannya semakin hampir mengejar bayang-bayangnya. Hanya saat dan detik itu belum menjelma lagi.
Dia sendiri semakin menggelabah dan detak-detuk jantung terasa seakan terhenti.
“Apakah aku harus berterus terang?” Katanya sendirian jauh di lubuk hatinya. Selama ini telah hampir dua tahun kejadian itu. Dia sudah merasa bosan dengan hidup bersama bayang-bayangnya sendiri.
Bosan dengan cara yang serba terkongkong. Dulu dia bebas sebebas-bebasnya. Seperti burung bebas menebarkan sayapnya.
Di sudut lain, Haji Mahmud jalan-jalan di ruang tamu rumahnya yang luasnya seluas padang bola. Kerusi meja tamunya banyak yang rosak akibat rusuhan majlis lebih dua tahun yang lalu.
Dia tidak berniat untuk membeli perabot baharu kerana ingin menggunakan duit tersebut untuk membayar denda seandainya dia kalah dalam perbicaraannya yang dipertuduhkan terhadapnya sebanyak 100 pertuduhan. Dia sudah mempersiapkan semua itu.
Di sudut dapur berhampiran dengan bilik tamu yang luas itu pun sudah tidak terurus dan tidak serapi dulu.
Pembantu rumahnya sudah balik ke negeri asalnya dengan membawa bersamanya kisah sedih anak Haji Mahmud yang dia tahu tapi tidak dapat buka mulut. Isteri Haji Mahmud duduk di kerusi usang yang tidak lagi digunakan sejak lebih dua tahun yang lalu.
“Patutlah dia pernah menghilang secara tiba-tiba, menghilang begitu lama,” kata Ela, salah seorang kawan Era. Mereka terdiam sunyi seketika sambil berpandangan antara satu sama lain. Jauh di lubuk hati masing-masing berbicara sendirian semacam tidak percaya cerita yang dibawa Era. Anak Haji Mahmud adalah kawan rapat mereka. Semasa anak gadis Haji Mahmud kembali ke rumahnya, Era sering mengunjungi anak gadis Haji Mahmud itu. Tapi kawannya itu tidak mahu berkata dan tidak mahu bercerita. Sekarang dia faham kedudukan sebenarnya.
Dia berharap cerita yang selama ini menjadi teka-teki orang kampungnya akan terjawab.