(Siri 7)
Oleh Dino MN –
Riuh sekampung. Kali ini seluruh kampung ringsak dengan berita itu. Malah sudah tidak dapat dibendung lagi tularnya kisah tersebut.
“Apa tidaknya…anak gadis yang hilang lebih dua tahun lalu, kemudian muncul kembali ke rumahnya, tidak siapa dapat mengesani kehilangannya dan kembalinya secara tiba-tiba pula”.
Di ruang dapur yang luas itu, yang tidak terurus lagi akibat pembantu rumah mereka pulang ke negeri asalnya agak suram sesuram fikiran dan perasaan di hati isteri Haji Mahmud. Dia tidak punya tenaga mengemas barang-barang di dapur itu.
Kawah besar yang garis pusatnya 10 kaki itu yang pernah dijadikan gong oleh pengunjung yang tidak puas hati pada majlis yang dianjurkan oleh suaminya Haji Mahmud hanya dengan sebiji telur.
Begitu juga dengan perimpan yang bersaiz besar ukurannya pernah dijadikan gendang deram mukun oleh mereka yang tidak puas hati kerana merasa tertipu.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/12/P16-1-WEB-FREEPIK_01012024.jpg)
Semua itu tinggal kenangan sejurus kehilangan anak gadisnya. Kini anak gadis itu telah pulang ke rumahnya. Dia tidak dapat meleraikan kisah itu yang tetap menjadi rahsia anaknya.
Anak Haji Mahmud sejak awalnya sudah ingin buka mulut tapi tidak mampu melakukannya. Dia hanya mengikut perancangan bapanya Haji Mahmud.
Tapi kali ini dia ingin berterus terang sahaja apa sebenarnya berlaku setelah dia tahu siapa dirinya yang sesungguhnya.
Dia sudah tak tahan memikul beban di bahunya sendiri. Biarlah kali ini dia meleraikan ikatan itu biar terburai bersepah…biarkan orang tahu.
Orang-orang kampung masih ingin mencari kebenaran di sebalik kisah misteri di dalam keluarga Haji Mahmud.
“Betul tu…Haji Mahmud sudah merasa malu terpukul kisah anak gadisnya”.
“Aaa…solat berjemaah di masjid sudah tidak kelihatan lagi”.
“Kasihan juga ya dengan Haji Mahmud…”
“Yalah…gara-gara anak yang sangat dimanja…”
“Sebetulnya keluarga Haji Mahmud tidak tahu kisah anaknya kecuali Haji Mahmud sendiri kerana dia ingin menutup keaiban dalam keluarganya. Anak gadisnya disuruh melenyapkan diri ke kampung kawannya.
“Eeh…janganlah engkau membuat andaian cerita…jika belum tahu cerita sebenarnya,” kata seorang daripada mereka yang ikut bercerita hal tersebut.
“Mana yang tak betulnya…dua hari lalu anak gadis saya si Faridah mendapat tahu dari kawannya Ela…
“Nah ini yang belum tahu benarnya…
“Itulah kau, belum habis saya cerita mudah menyampuk,”katanya memperli kawannya, kemudian dia menyambung… “Kata anak saya Faridah, Ela mendapat khabar sahih ini dari Era. Era yang kebetulan berjalan kaki melintasi sebuah kereta dan orang itu terus bertanya alamat rumah Haji Mahmud…namanya Haji Samad, nah Haji Samadlah yang mengatakan yang mereka hendak berjumpa dengan Haji Mahmud untuk menghantar cucunya…”
Mereka ternganga…terdiam mendengar cerita tersebut. Mereka berpandangan sesama sendiri seolah-olah kurang percaya dan sangsi.
“Ini yang membingungkan kita semua…bila masa anak gadisnya bernikah?” tanya salah seorang daripada mereka.
Kejadian misteri anak gadis Haji Mahmud…kehilangannya yang begitu lama…tiba-tiba muncul semula…dan sekarang muncul anak damit yang dikatakan cucu Haji Mahmud cukup menggemparkan warga kampung dan tular ke kampung-kampung berhampiran.
Bagai mulut tempayan yang tidak boleh ditutup lagi.
Seminggu yang lalu, rumah Haji Mahmud telah didatangi oleh polis…juga ikut serta ialah pegawai-pegawai merinyu ugama Kementerian Hal Ehwal Ugama. Pihak polis sekali lagi bertanyakan tiga dalam satu. Haji Mahmud dengan rasa gugupnya terpaksa menjawab dengan sejujurnya.
Anak gadis Haji Mahmud pun disoal siasat oleh pihak polis tentang kehilangannya sehingga menyulitkan pencariannya oleh pihak polis. Merinyu ugama bahagian penguat kuasa maksiat pun juga telah membawa anak gadis Haji Mahmud ke Jabatan Hal Ehwal Ugama bahagian siasatan berhubung maksiat yang disembunyikan keluarga Haji Mahmud selama ini.
“Haji Mahmud sendiri juga menghadapi beberapa tuduhan ke atas peristiwa ini”
“Saya juga dapat khabar yang sahih bahawa Haji Mahmud akan didakwa kerana pemalsuan fakta yang dibuatnya atas kejadian ini” kata seorang lagi yang sama berbual hal itu.
“Anak gadisnya macam mana pula?” tanya seorang yang berbadan sederhana pendek berkumis dan berjambang.
“Pun sama juga…dia disiasat dan dituduh melakukan maksiat dan melahirkan anak tanpa nikah,” jawabnya.
“Tidak lama lagi Haji Mahmud akan didakwa di mahkamah sivil dan anaknya akan didakwa di mahkamah syariah.”