Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tema Hari Keselamatan Pesakit Sedunia utamakan anak damit

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Hari Keselamatan Pesakit Sedunia disambut setiap tahun pada 17 September yang mana kempen global itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran, menggerakkan tindakan dan mengurangkan bahaya yang boleh dielakkan dalam penjagaan kesihatan.

    Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2025 yang dianjurkan oleh Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam (PIHM), Temburong dan berlangsung di Ruang Lobi Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pagi tadi.

    Hadir dan menyempurnakan perasmian majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham Bin Haji Jaafar. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.

    Atas & Bawah: YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham hadir dan merasmikan majlis sambuan berkenaan.

    Dalam kata alu-aluannya, Penguasa Perubatan selaku Ketua Unit Kualiti dan Keselamatan Pesakit Hospital PIHM, Temburong, Dr Haji Fakhruddin bin Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim menyatakan selaras dengan matlamat WHO bagi Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2025, usaha kolektif berterusan menumpukan kepada penglibatan keluarga, memperbaiki ubat dan keselamatan diagnostik, mencegah jangkitan serta melindungi anak damit yang sakit dan masih kecil.

    Dr Haji Fakhruddin menyampaikan kata alu-aluannya.

    Majlis diteruskan dengan perasmian dan pelancaran Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2025 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.

    YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Dr Haji Fakhruddin memotong kek bagi Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2025.

    Yang Berhormat Dato turut menyaksikan dan diberikan penerangan mengenai pameran yang diadakan pada majlis berkenaan.

    Atas & Bawah: YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyaksikan pameran yang diadakan.

    Antara aktiviti yang diadakan ialah tayangan video Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2025, pameran Hari Keselamatan Pesakit, kuiz dan petak-petak jualan bagi memeriahkan lagi acara.

    Sambutan pada tahun ini membawa tema Penjagaan yang Selamat untuk Setiap Anak Damit yang Baru Lahir dan Setiap Kanak-kanak yang mana ia menumpukan pada memastikan penjagaan yang selamat, sesuai dan individu untuk anak damit lahir dan kanak-kanak kecil iaitu dari lahir hingga sembilan tahun, yang menghadapi risiko yang lebih tinggi disebabkan oleh perkembangan pesat mereka, keperluan kesihatan yang berkembang dan corak penyakit yang berbeza.

    Sementara slogan kempen, Keselamatan Pesakit Bermula dari Awal menyeru semua pihak termasuk pekerja kesihatan, penggubal dasar, ibu bapa dan masyarakat, untuk bersama memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran yang lebih selamat bagi semua.

    Kempen juga menegaskan bahawa keselamatan pesakit bukan hanya tanggungjawab hospital atau klinik semata-mata, tetapi merupakan gerakan kolektif yang mencerminkan komitmen global dan tindakan bersepadu bagi menghapuskan bahaya yang boleh dicegah serta memastikan setiap kanak-kanak mendapat permulaan hidup yang sihat dan selamat.

    Antara yang hadir ke majlis sambutan berkenaan.
    Antara pameran yang disediakan semasa majlis sambutan berkenaan.    

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda