SUNGAI BESAR, 24 MEI – Perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di
luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau, di sini Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Agus Salim Mohd Alias berkata suspek yang merupakan bekas penuntut kolej itu telah membawa mangsa menaiki kereta seterusnya bertengkar dengan wanita berusia 21 tahun itu sebelum dipukul di kepala lantas dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam.
Terdahulu, Agus Salim berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang wanita tempatan dalam keadaan terbakar dan tertiarap di kawasan kebun kelapa sawit tersebut sekitar 8 pagi semalam (23 Mei).
Katanya hasil tindakan pantas pihaknya, mereka berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun di sebuah kediaman di sekitar Sungai Besar pada 1:45 tengah hari semalam.
“Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai telah dibakar sebanyak dua kali bertujuan untuk melupuskan bukti iaitu sekitar 10 malam (22 Mei) dan semalam sekitar 7 pagi sebelum ditemukan orang awam,” katanya pada sidang media di sini hari ini. – Bernama