Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teman lelaki ketua parti pembangkang Madrid disiasat

    MADRID, 12 MAC – Teman lelaki pemimpin berhaluan kanan Madrid, Isabel Diaz Ayuso, sedang disiasat atas dakwaan penipuan cukai berjumlah kira-kira AS$380,000. Dokumen mahkamah yang dikeluarkan hari ini menunjukkan skandal rasuah terbaharu yang menjejas pentadbiran politik Sepanyol.

    Alberto Gonzalez Amador, pasangan Diaz Ayuso dari Parti Popular (PP) sayap kanan, terlibat dalam kes tersebut.

    Ia berlaku ketika kerajaan sayap kiri Sepanyol sedang bergelut untuk menangani kesan skandal rasuah berasingan yang melibatkan pembantu kanan bekas menteri, yang menerima kritikan daripada PP.

    Dalam aduan yang difailkan dengan mahkamah awal bulan ini, yang salinannya dilihat oleh AFP, pendakwa raya mendakwa Amador memfailkan invois palsu untuk mengurangkan cukai yang terhutang oleh syarikatnya, Maxwell Cremona Ingenieria y Procesos Sociedad para el Fomento del Medioambiente SL.

    Laman web berita Sepanyol, ElDiario.es, yang mendedahkan cerita itu, menyatakan syarikat tersebut, yang menyenaraikan perkhidmatan kejuruteraan dan lain-lain, telah beralih ke urusan berkaitan kesihatan semasa pandemik COVID, yang bermula pada awal tahun 2020.

    Dakwaan rasuah itu melibatkan tahun cukai 2020 dan 2021.

    Amador menghadapi dua pertuduhan penipuan cukai dan satu pertuduhan memalsukan dokumen.

    Pendakwa raya juga menamakan empat individu lain yang mengendalikan sembilan syarikat yang mengeluarkan invois untuk perkhidmatan yang tidak pernah disediakan. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda