CIUDAD JUAREZ, MEXICO, 24 Jun – Sekurang-kurangnya 14 maut dalam tiga kejadian tembakan di Juarez, utara Mexico semalam yang terkenal dengan keganasan membabitkan sindiket pengedaran dadah.
Satu daripada insiden itu berlaku di bahagian selatan bandar berkenaan, membabitkan lapan lelaki yang sedang menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia antara Korea Selatan dan Mexico.
Menurut pegawai keselamatan, enam daripada mereka maut ditembak sekumpulan penyerang bersenjata manakala dua lagi mengalami kecederaan parah.
Dalam satu insiden lain yang berlaku hampir serentak di kawasan kejiranan pinggir bandar, lima lelaki maut ditembak sekumpulan penyerang menaiki van berwarna biru ketika sedang menonton perlawanan bola sepak di sebuah salun.
Beberapa jam sebelum itu pula, tiga lagi lelaki yang sedang bersuka ria di sebuah parti di pinggir bandar diculik sebelum dibunuh, juga oleh sekumpulan penyerang bersenjata.
Kesemua pembunuhan berkenaan menjadikan jumlah kematian bagi bulan Jun di bandar ini meningkat kepada 128 orang.
Lebih daripada 200,000 penduduk terbunuh di Mexico sejak kerajaan melancarkan kempen anti dadah sejak 2006. – AFP