WASHINGTON, 6 OGOS – Satu tembakan di sebuah jalan di ibu negara menyebabkan tiga orang terbunuhdan dua lagi dimasukkan ke hospital, kelmarin, kata polis.
Pegawai bertindak balas terhadap bunyi tembakan sekitar jam 8 malam di blok 1600 Good Hope Road Southeast dan menemui lima mangsa yang telah ditembak.
Dua lelaki dan seorang wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lelaki dibawa ke hospital kawasan, Washington, DC, kata Pemangku Ketua Polis Metropolitan, Pamela Smith semasa sidang akhbar di tempat kejadian.
Keadaan mangsa yang dimasukkan ke hospital tidak diketahui dengan segera.
“Keganasan senjata api seperti ini tidak boleh diterima di Daerah Columbia. Ini bukan zon perang. Kami mahu penduduk kami berasa selamat,” kata Smith.
Smith meminta bantuan daripada orang ramai untuk mengumpul maklumat tentang apa yang disifatkan sebagai tembakan maut yang menggemparkan.
“Kami menyedari bahawa mungkin ada orang lain yang cedera malam ini. Kami meminta awda untuk tampil ke hadapan,” kata Smith sambil menambah bahawa masyarakat perlu terlibat dalam menghentikan keganasan di bandar itu. “Ia tidak boleh bergantung kepada jabatan polis metropolitan untuk menentukan apa yang berkesan dan apa yang tidak.”
Washington mengalami satu lagi tembakan besar-besaran bulan lalu apabila sembilan orang cedera ketika meraikan Hari Kemerdekaan di kawasan kejiranan kira-kira 20 minit pemanduan ke timur Rumah Putih. – AP