KUCHING, 3 OGOS – Tembakan serentak ke udara yang dilepaskan oleh 20 anggota Platun Tiger daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) menggamatkan suasana Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Sarawak yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.
Gimik pelepasan tembakan pistol secara berkumpulan itu menjadi sebahagian dari persembahan laungan semangat dan tarian perang menarik daripada pasukan elit PGA itu yang merupakan antara empat pasukan badan beruniform yang mengambil bahagian dalam majlis yang dihadiri lebih 400 orang jemputan itu.
Persembahan daripada 24 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 28 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan 23 dari Angkatan Pertahanan Malaysia dalam acara laungan semangat itu tidak kurang hebatnya dalam menghangatkan majlis yang dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Suasana menjadi semakin meriah apabila lagu bahasa Iban, “Bekikis Bulu Betis” yang dipopularkan oleh Andrewson Ngalai dan dianggap seperti lagu wajib setiap kali majlis keramaian di Sarawak, berkumandang ketika aksi rasa kilas (flashmob) oleh gabungan petugas Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Sarawak dan Politeknik Kuching.
Bertemakan “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, pelancaran peringkat negeri itu merupakan kesinambungan daripada pelancaran di peringkat kebangsaan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada 16 Julai lepas.
Sambutan berorientasikan kepelbagaian dalam perpaduan anjuran JAPEN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) itu bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme tinggi dalam kalangan masyarakat. – Bernama