Tuesday, May 6, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Temburong jadi tumpuan belia dan komuniti melalui MMPB Green Jewel 2025

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Daerah Temburong baru-baru ini telah disemarakkan dengan program Malam Minggu Pusat Belia (MMPB) Green Jewel 2025 anjuran MMPB dan majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Temburong, dengan sokongan penuh daripada Pejabat Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Belia dan Sukan Daerah Temburong.

    Bertemakan Citra Hijau, Wadah Kreatif, program yang berlangsung di sekitar Kompleks Pekan Bangar, Daerah Temburong itu merangkumi usaha bersepadu dalam mempromosi keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar, pemerkasaan belia dan keterlibatan komuniti.

    Presiden MMPB, Pengiran Mohammad Al Nizar bin Pengiran Azahari antaranya menyatakan inisiatif program berkenaan bukan sekadar menyatukan belia dan komuniti, namun ia merupakan ruang untuk membentuk karakter, menyemai nilai kebertanggungjawaban dan mempromosikan kreativiti tempatan dalam suasana yang membina dan berdaya saing.

    “Daerah Temburong bukan sekadar lokasi; ia adalah lambang permulaan untuk gerakan belia akar umbi yang mampan,” ujarnya,

    Program ini juga merupakan manifestasi kepada hasrat negara dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam memperkasa belia sebagai ejen perubahan
    positif melalui pendekatan berasaskan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).

    Para pengunjung terdiri dari seluruh negara termasuk rakan serantau seperti Limbang, Sarawak yang turut hadir untuk menyertai pelbagai segmen interaktif dan pameran kreatif yang disusun khas bagi menggalakkan penyertaan masyarakat secara inklusif.

    Antara komponen utama program berkenaan ialah keusahawanan dan kreativiti belia; hiburan, seni dan pendidikan komuniti; sukan dan aktiviti keluarga; dan kesedaran sosial dan keagamaan.

    MMPB Green Jewel 2025 bukan sekadar acara, ia merupakan satu platform pembangunan belia, pengukuhan jaringan sosial, serta pengisian nilai komuniti yang sihat, produktif dan inklusif. Program ini diharap menjadi acara tahunan yang terus menyatukan belia, agensi, dan masyarakat pelbagai latar belakang dalam satu semangat kebangsaan yang progresif dan berkonsepkan MIB.

    Antara segmen yang memeriahkan lagi program MMPB Green Jewel 2025 baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MMPB
    GAMBAR SERAHAN MMPB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda