Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Salawati Haji Yahya & Dean Kassim
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Kumpulan Daerah Temburong telah menjuarai Sukan Tahunan dan Olahraga Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) tahun ini yang diadakan di Kompleks Sukan Berakas hari ini.
Sukan tahunan sekolah berkenaan turut disertai oleh cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Pengiran Anak ‘Abdul Muta’ali Haziq Hamidullah bin Pengiran Anak Haji Abdul ‘Ali Yil-Kabier.
Dalam acara sukan tersebut, Daerah Temburong berjaya mengatasi daerah lain dengan pungutan pingat keseluruhan, 17 emas, 16 perak dan enam gangsa. Sementara tempat kedua diduduki oleh kumpulan dari Daerah Tutong dengan pungutan pingat, 15 emas, 12 perak dan 12 gangsa, manakala tempat ketiga disandang oleh kumpulan dari Daerah Belait dengan 12 emas, 14 perak dan 17 gangsa, dan kumpulan dari Daerah Brunei dan Muara berada di tempat keempat dengan pungutan pingat keseluruhan sebanyak sembilan emas, 11 perak dan 18 gangsa.


Hadiah pemenang disampaikan oleh Pengerusi Ibu Bapa dan Guru Sekolah YSHHB iaitu Dato Paduka Haji Shofry bin Haji Abdul Ghafor.
Turut hadir menyaksikan sukan tersebut ialah Penolong Pengarah Urusan YSHHB, Dayang Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa dan Pemangku Pengetua Sekolah YSHHB Alimas bin Haji Mohd Ali selaku pengerusi majlis.
Antara sukan yang dipertandingkan adalah larian 200 meter, 100 meter dan 4 x100 meter kategori lelaki dan perempuan.
Antara lain tujuan kejohanan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat pelajar dalam bidang sukan, di samping meningkatkan kerjasama dalam kumpulan serta meningkatkan keyakinan diri pelajar.