Oleh Ampuan Irma Susanti
TEMBURONG, 28 Dis – Daerah Temburong juga tidak ketinggalan memeriahkan Festival Disember Brunei 2017 dengan Ekspo dan Bazar Amal Karnival Hujung Tahun 2017 yang telah bermula pada 26 Disember lalu.
Program kali pertama berkenaan yang akan berlangsung selama enam hari di Dewan Belalong Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar itu dianjurkan bersama oleh Fadhzunnisa Event Management dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong, di sini.
Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada para pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan khususnya di daerah ini untuk memperkenalkan produk mereka di samping memberikan pelbagai tawaran menarik.




Sebanyak 22 buah petak disediakan dalam ekspo berkenaan dengan penyertaan dari persatuan-persatuan, Kelab Belia Temburong dan orang perseorangan. Antara acara yang disediakan termasuk pertunjukan burung nuri, pameran reptilia, peraduan mewarna, bouncer, pesta ria, rumah seram dan gerai jualan.
Sebahagian pengunjung yang sempat ditemui menyatakan antara yang menarik hati mereka adalah pertunjukan reptilia dan burung kakaktua yang menampilkan pelbagai spesies tempatan dan luar negara yang jarang sekali ditemui.
Acara yang dilancarkan oleh Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud itu turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pelancaran lagu tradisional baru oleh artis tempatan dan penyampaian sumbangan kepada seramai 220 orang kanak-kanak yatim di daerah ini.