Oleh Azian
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Pasukan Lumba Perahu Juang Negara Brunei Darussalam telah berjaya muncul sebagai naib juara Kategori Terbuka Perdana Antarabangsa 20 Kru dan tempat ketiga dalam Kategori Terbuka Perdana Antarabangsa 12 Kru dalam Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa sempena Regata Sarawak 2019, baru-baru ini.
Pasukan ini juga mendapat tempat kedua dan keempat dalam Kategori Perdana Antarabangsa Campuran 12 Kru dan berjaya membawa pulang hadiah tunai RM12,000 beserta pingat dan trofi.
Tetamu kehormat kejohanan yang berlangsung di Tebingan Sungai Sarawak dari 26 Oktober hingga 3 November itu ialah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Openg.
Perlumbaan tersebut disertai oleh 56 pasukan tempatan dan luar negeri seperti Australia, Brunei, China, Amerika Syarikat, Thailand, Emiriah Arab Bersatu, Myanmar, Filipina, Taiwan, Hong Kong, Singapura, Indonesia dan Malaysia.
Menurut Yang Di-Pertua Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan Brunei Darussalam (PERKEBAR), Haji Haris bin Haji Ibrahim, beliau amat berbangga dan bersyukur atas kejayaan itu dan pujian perlu diberikan kepada Pasukan Lumba Perahu Juang Negara Brunei Darussalam kerana telah mengharumkan negara.
Pasukan Lumba Perahu Juang adalah salah sebuah pasukan gabungan PERKEBAR dan sering kali menyertai kejohanan dalam dan luar negeri.
Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2019 ialah acara anjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dengan kerjasama Persekutuan Antarabangsa Perahu Naga (IDBF) ini merupakan acara ikonik sukan air di Sarawak.
Acara kemuncak Regata Sarawak ialah Raja Sungai Sarawak 2019 yang dijadualkan pada 3 November ini dan akan disaksikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sarawak.
