Tempah solat Jumaat di BruHealth

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Dengan pengumuman pembukaan semula masjid untuk menunaikan sembahyang fardu Jumaat pada 29 Mei nanti, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) juga akan menggunakan aplikasi BruHealth sebagai sistem kawalan bagi menentukan tahap kesihatan seseorang untuk bersembahyang di masjid.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan pada 23 Mei lalu berkata bahawa aplikasi BruHealth akan dapat digunakan bermula hari ini (25 Mei), pukul 12 tengah hari.

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai yang menunaikan sembahyang fardu Jumaat di masjid, hendaklah terlebih dahulu membuat tempahan slot untuk menunaikan sembahyang fardu Jumaat menerusi aplikasi berkenaan.

Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa sekiranya telefon bimbit yang digunakan tidak serasi (compatible), disarankan untuk mendapatkan kod QR daripada laman sesawang www.healthinfo.gov.bn bagi membuat tempahan slot untuk menunaikan sembahyang fardu Jumaat di masjid yang ingin dikunjungi.

Beliau menyatakan lagi bahawa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei akan bertugas di masjid-masjid bagi membantu mengimbas kod QR berkenaan daripada telefon bimbit bagi sesiapa yang menunaikan sembahyang fardu Jumaat nanti.

Tempahan slot untuk menunaikan sembahyang fardu Jumaat menerusi aplikasi berkenaan.
Haji Abdul Khalid As’ari menerima sumbangan daripada Joyce TS Chai.

Yang Berhormat Dato menasihatkan bahawa mana-mana individu yang gagal membuat tempahan untuk menunaikan sembahyang Jumaat, sama ada disebabkan kesihatan atau tidak mendapat slot sembahyang Jumaat, dinasihatkan untuk tidak menghadirkan diri ke masjid bagi mengurangkan kesesakan masuk ke kawasan masjid dan sebagainya.

“Bagi warga asing, sukacita juga dapat mengongsikan maklumat ini kepada rakan-rakan yang kurang mahir berbahasa Melayu dan seterusnya menggalakkan memuat turun aplikasi BruHealth bagi digunakan aktiviti harian dan menunaikan sembahyang fardu Jumaat.”

Beliau menambah, “Sebagaimana yang disaran-kan oleh KHEU, walaupun kita akan mula menggunakan semula masjid, kita hendaklah terus berwaspada untuk mengelakkan jangkitan yang tidak terkawal terutamanya dengan kita mematuhi peraturan-peraturan ke masjid.

“Mudah-mudahan kitani akan dapat ke masjid dengan selamatnya hinggalah masjid-masjid dibuka semula seperti biasa,” ujarnya.