Friday, July 25, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tempah tempat duduk guna aplikasi Tiket Kitani

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Aplikasi dalam talian dinamakan Tiket Kitani telah dilancarkan hari ini bagi memastikan pengurusan kemasukan dan tempat duduk orang ramai lebih teratur dan efisien untuk Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK-40) nanti.

              Aplikasi berkenaan diperkenalkan untuk memudahkan pengguna menempah tempat duduk mengikut zon, pagar dan seksyen semasa upacara perhimpunan agung sambutan itu nanti.

              Orang ramai yang berhasrat untuk hadir pada hari sambutan nanti bolehlah membuat tempahan melalui aplikasi web Tiket Kitani di alamat https://tiketkitani.gov.bn bermula hari ini.

     

    Dayang Umi Faizura semasa menyampaikan penerangan mengenai aplikasi Tiket Kitani sempena sambutan HK-40. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR

         Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Ketua Transformasi Digital, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Umi Faizura binti Ismail semasa sidang media mengenai persediaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 yang berlangsung di KKBS, hari ini.

              Beliau seterusnya mengongsikan, lebih 8,000 tempat duduk tersedia untuk orang ramai mengikut zon, dan zon-zon yang dibukakan kepada orang ramai adalah Zon Utara (Zon B) dan Zon Selatan (Zon D).

              Kemasukan di Zon Utara adalah melalui pintu masuk berdekatan dengan Scoreboard manakala bagi kemasukan di Zon Selatan pula melalui pintu masuk berhadapan bangunan Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD).

              Sementara itu, pagar-pagar yang akan dibukakan kepada orang ramai adalah pagar 5, 6, 7 di Zon Utara dan pagar 15, 16 dan 17 di Zon Selatan, yang akan mula dibuka pada pukul 6:30 pagi.

              Di samping itu, beliau turut menjelaskan, setiap pendaftar hanya boleh membuat tempahan sehingga tiga tempat duduk sahaja dan pengguna yang mendaftar menggunakan aplikasi berkenaan akan diberikan tiket berbentuk digital dengan menunjukkan nombor pagar, seksyen dan kerusi yang dipilih

              “Pendudukan yang menempah tiket lebih daripada satu diminta untuk datang bersama-sama bagi one-time check-in,” seru beliau.

              Selain itu, pengguna juga dinasihatkan untuk membatalkan tempahan jika tidak berhasrat untuk hadir atau mengurangkan jumlah tempahan jika tidak memerlukan, dengan itu, ia dapat memberikan peluang kepada pengguna-pengguna yang lain.

              Manakala itu, bagi pengguna yang tidak mempunyai akuan e-mel, pemberian walk-in pass akan disediakan di kedua-dua zon tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk yang masih ada.

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda