FRANKFURT, 5 MEI – Tempahan perindustrian Jerman mengalami kejatuhan terbesar pada Mac sejak 2020, data rasmi menunjukkan hari ini, mencetuskan kebimbangan bahawa ekonomi terbesar Eropah itu memasuki kemerosotan mendadak.
Tempahan baharu, yang memberikan gambaran awal kepada keluaran perindustrian, mengalami penurunan mengejut sebanyak 10.7 peratus berbanding bulan sebelumnya, menurut angka sementara daripada pihak berkuasa perangkaan persekutuan, Destatis.
Ia adalah penurunan terbesar sejak April 2020, apabila wabak koronavirus baru sahaja mula mengelilingi dunia, menyebabkan sekatan perjalanan dan penutupan sempadan.
Tempahan telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, mengukuhkan harapan bahawa Jerman telah mengharungi kesan daripada perang Ukraine yang mengakibatkan krisis tenaga.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/05/P14-1a-German_06052023.jpg)
Tetapi data terkini meningkatkan kebimbangan mengenai keadaan ekonomi, dengan ahli ekonomi dari bank LBBW, Jens-Oliver Niklasch menggelar kemerosotan itu sebagai amaran kepada pelabur.
“Angka ini memusnahkan permulaan tahun yang baik untuk industri Jerman, dan merupakan isyarat kemelesetan sebenar,” katanya dalam nota penyelidikan.
Penurunan itu dapat dilihat dalam kebanyakan bidang sektor pembuatan, menurut Destatis. Tempahan asing turun sebanyak 13.3 peratus, dan tempahan domestik sebanyak 6.8 peratus pada bulan sebelumnya, katanya.
Tetapi kementerian ekonomi berkata bahawa tempahan baharu “sangat tidak menentu” sejak kebelakangan ini, dan penunjuk utama sentimen berterusan pada arah aliran menaik yang bermula akhir tahun lepas.
Banyak petunjuk ekonomi telah mula pulih selepas jatuh tahun lalu berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, menaikkan harapan bahawa Jerman dapat mengelakkan kemelesetan.
Bagaimanapun, gambaran itu kembali suram baru-baru ini, dengan ekonomi mengelak kemelesetan pada suku pertama, berbanding jangkaan untuk meningkat semula, manakala eksport juga menurun pada Mac. – AFP