Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tempahan melalui QueUP

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi memaklumkan orang ramai bahawa perkhidmatan tempahan tarikh dan waktu (slot) bagi urusan membaharui lesen kenderaan, tukar milik, pinjaman/pembatalan tuntutan bank atau kerajaan bagi kenderaan (ceased loan) di Ibu Pejabat JPD sudah boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih QueUP bermula 27 April.

    Dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, hari ini, JPD menyatakan lanjut bahawa orang ramai boleh memuat turun aplikasi mudah alih QueUP melalui Apple App Store atau Google Play Store dan mengikuti tatacara membuat tempahan awal yang terdapat dalam aplikasi berkenaan.

    Untuk memastikan tempahan tarikh dan waktu (slot) yang dikehendaki, orang ramai dinasihatkan untuk membuat tempahan lebih awal dan hadir 15 minit sebelum masa tempahan yang telah dipilih demi mengelakkan tempahan tarikh dan waktu (slot) tidak terlepas atau mansuh.

    JPD juga memaklumkan orang ramai bahawa perkhidmatan kaunter dilaratkan kepada setiap Jumaat bermula 1 Mei bagi pelanggan-pelanggan membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan yang sudah menempah melalui QueUP dan yang mengambil permohonan yang telah dihadapkan melalui perkhidmatan Talian Darussalam (TD) 123.

    Kenyataan menerangkan bahawa waktu perkhidmatan bagi Ibu Pejabat JPD, Gadong, ialah dari 8:30 pagi hingga 11 pagi bagi setiap Jumaat manakala bagi Cawangan JPD Daerah Tutong dan Cawangan JPD Kuala Belait, waktu perkhidmatan ialah dari 8:30 pagi hingga 11 pagi pada setiap Jumaat minggu kedua dan terakhir.

    Dalam pada itu, orang ramai juga disarankan untuk membaharui lesen kenderaan dan lesen memandu secara atas talian (online) melalui www.gov.bn atau TD123.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda