Tempat ibadat bukan Islam dikehendaki guna kod QR BruHealth

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Di bawah Tahap Kesediaan Operasi 4 yang akan bermula 3 Ogos susulan pengurangan langkah-langkah pengawalan wabak COVID-19 Negara Brunei Darussalam, tempat-tempat ibadat selain masjid dan surau dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Menurut garis panduan yang dimuat naik di laman sesawang Kementerian Kesihatan, syarat-syarat umum yang perlu dipatuhi iaitu pihak pengurusan tempat-tempat ibadat bukan Islam dikehendaki untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis masing-masing dan seterusnya mencetak kod QR berkenaan dan dilekatkan di kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pengunjung sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis.

Pihak pengurusan tempat-tempat ibadat selain masjid dan surau dikehendaki untuk memastikan langkah-langkah kebersihan dan penjarakan fizikal dilaksanakan sebagaimana arahan-arahan berikut iaitu membuat pemeriksaan suhu badan bagi para pengunjung di pintu-pintu masuk premis berkenaan, menyediakan kemudahan mencuci tangan atau pensanitasi tangan bagi kegunaan pengunjung.

Selain itu, memastikan pengunjung dan kakitangan yang bertugas menggunakan penutup mulut dan hidung di mana yang diperbuat daripada kain boleh digunakan dengan syarat ia dicuci setiap kali selepas dipakai serta melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi sebelum dan selepas upacara umum diadakan. Pengunjung dan kakitangan yang mempunyai tanda-tanda jangkitan dinasihatkan untuk tidak mengunjungi tempat-tempat ibadat berkenaan sehingga telah sembuh.