Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Menurut Kaji Selidik Tenaga Buruh (Labour Force Survey) 2017 yang dikendalikan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), terdapat lebih daripada 180,000 orang terlibat dalam sektor pekerjaan di Negara Brunei Darussalam, yang mana lebih daripada 90 peratus dikategorikan sebagai pekerja manakala sekitar 75,000 orang iaitu 40 peratus daripada 180,000 orang bekerja di sektor perkhidmatan awam.
Secara purata, mereka berada di tempat kerja selama tujuh hingga lapan jam sehari dan lima hari seminggu. Oleh itu, adalah amat wajar bagi tempat kerja menjadi satu platform bagi memberikan pengajaran dan pembinaan keupayaan atau kapasiti dalam pengamalan cara hidup sihat.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Pelancaran Program WAH (Workplace and Health) Sesi 2019-2020 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Terdahulu pada majlis itu, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dalam kata alu-aluannya berkata bahawa Program WAH merupakan sebuah program usaha sama perkongsian awam swasta (PPP) Kementerian Kesihatan dan Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) yang dimeterai melalui perjanjian memorandum persefahaman pada 18 April lalu.
Beliau menerangkan bahawa program itu bertujuan untuk mewujudkan dan memperkukuhkan lagi Program Promosi Kesihatan di Tempat Kerja di semua kementerian menjelang akhir 2021.


“Program ini akan diperkenalkan dalam dua peringkat iaitu bagi sesi pertama pada 2019-2020, program ini akan dilaksanakan di enam buah kementerian iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa bagi sesi kedua, ia akan dijalankan di kementerian-kementerian yang lain pada 2020-2021.
Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menyaksikan klip video mengenai Program WAH dan menyempurnakan penyampaian peralatan timbangan indeks jisim tubuh (BMI) dan tekanan darah kepada setiausaha-setiausaha tetap serta wakil-wakil daripada enam buah kementerian yang menyertai sesi pertama program berkenaan.
Program WAH merangkumi beberapa komponen iaitu sesi pemeriksaan dan pemantauan kesihatan fizikal khususnya bagi pemantauan tekanan darah dan BMI; sesi pendidikan kesihatan melalui beberapa buah bengkel mengenai risiko penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit jantung, amalan pemakanan sihat, asas senaman dan kegiatan fizikal; bahaya merokok dan langkah-langkah berhenti merokok dan langkah-langkah menangani stres serta sesi senaman berkumpulan selepas waktu bekerja secara percuma setiap minggu yang dikendalikan oleh studio kecergasan.
Kesemua komponen itu dihasratkan dapat meningkatkan dan memperluaskan pengetahuan dan kecekapan peserta mengenai gaya hidup sihat di tempat kerja serta mempromosi kegiatan fizikal untuk mengekalkan berat badan yang sihat dan menyumbang kepada kesejahteraan yang positif.