Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Porsche Asia Pacific memperkenalkan program Porsche Approved Warranty dipertingkatkan di rantau ini, di mana ia menjadi jenama automotif pertama untuk memperkenalkan tawaran jaminan bagi tempoh lanjutan seumpamanya.
Bermula esok (1 Oktober), program Porsche Approved Warranty akan dilanjutkan di mana semua pelanggan Porsche kini boleh melanjutkan tempoh liputan jaminan mereka sehingga 15 tahun.
Sebelum ini, jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh Porsche, semua kenderaan Porsche adalah terhad kepada tempoh jaminan 10 tahun maksimum.
Kenyataan menyatakan bahawa program jaminan baharu itu, memberikan para pelanggan ketenangan fikiran di mana program berkenaan merupakan komitmen eksklusif kepada kecemerlangan.
Program itu adalah bagi semua kenderaan Porsche di Singapura, Brunei, Kemboja, French Polynesia, Indonesia, Myanmar, Mongolia, New Caledonia, New Zealand, Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam tanpa sebarang perubahan bagi harga jaminan, liputan dan proses pendaftaran.

Pengurus Besar QAF Eurokars, Lahiru De Silva dipetik berkata bahawa bila ia mengenai kepercayaan pelanggan dalam kualiti kenderaan Porsche, mereka terus meningkatkan standardnya.
Beliau menyatakan bahawa pihaknya yakin dengan kebolehpercayaan dan prestasi kenderaan-kenderaan, oleh itu, mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh jaminan dengan menekankan kepada janji mereka terhadap kualiti.
Beliau menyatakan lagi bahawa program itu merupakan tawaran yang unik dalam industri automotif, oleh itu, amat bangga menjadi jenama pertama yang memperkenalkan tempoh jaminan 15 tahun.
Selain daripada itu, program itu juga menjanjikan jaminan penuh pada bila-bila masa dan di mana sahaja, liputan komprehensif, kualiti Porsche yang tulen dan pakej jaminan yang sesuai.