Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Tempuhi kehidupan selagi kudrat masih ada

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Meskipun menempuhi liku-liku perjalanan kehidupan sekeluarga yang penuh dugaan dan mencabar, namun kegigihan Dayang Nursabrina Adliah binti Haji Abdul Rahman, 35, sebagai tulang belakang ahli keluarganya tidak pernah luntur begitu sahaja.

    Demi menyara kehidupan harian insan-insan tersayang, beliau tetap terus bangkit mencari sumber pendapatan menerusi penjualan produk pelbagai jenis sayur-sayuran di hadapan kediamannya di Kampung Bolkiah A, Sungai Kebun, Daerah Brunei dan Muara, lebih-lebih lagi setelah ujian yang menimpa suaminya, Awang Mohamad Hardi bin Hassan @ Jamaludin, sekitar bulan Mei tahun lepas, yang mengalami masalah kesihatan sehingga tidak membolehkannya untuk meneruskan pekerjaan lagi sehingga ke saat ini.

    Tidak dinafikan pelbagai kerja telah dilakukan Dayang Nursabrina sebelum menceburi bidang penjualan sayur-sayuran, antaranya pernah menjadi pembantu penjual di salah sebuah kantin sekolah dan begitu juga membantu pemilik pondok nasi katok menjual hidangan pulut panggang berhampiran dengan kediamannya.

    Namun satu per satu pekerjaan tersebut terpaksa dilepaskan disebabkan beliau memiliki komitmen yang lebih penting untuk dilaksanakan iaitu tanggungjawab menjaga suami dan juga kedua ibu bapa mertuanya yang kurang sihat, di samping satu-satunya anak lelaki tunggal mereka.

    Dengan hilangnya sumber mata pencarian suami, suri rumah tangga ini berkongsi beliau begitu terkesan sehingga kesulitan dari segi kewangan semakin dirasai bagi memenuhi keperluan harian ahli sekeluarga.

    Ketika itu, apa yang terdetik di minda adalah untuk membuka gerai sayur-sayuran di hadapan rumah sahaja demi mencari jalan keluar daripada masalah yang dihadapi namun apakan daya tiada modal untuk meneruskan niat tersebut. Dengan izin Allah SWT, beliau sekeluarga memanjatkan kesyukuran, apabila salah seorang hamba Allah bermurah hati menghulurkan bantuan berupa modal kewangan dan beberapa keperluan barangan kepada mereka untuk memulakan perniagaan di gerai tersebut.

    Demi menyara kehidupan harian insan-insan tersayang, Dayang Nursabrina tetap terus bangkit mencari sumber pendapatan menerusi penjualan sayur-sayuran di hadapan kediamannya di Kampung Bolkiah A, Sungai Kebun, Daerah Brunei dan Muara.
    Meski perjalanan hidup sekeluarga yang ditempuhi penuh berliku, namun kegigihan Dayang Nursabrina sebagai tulang belakang ahli keluarganya tidak pernah luntur begitu sahaja.
    Kebiasaannya Dayang Nursabrina akan menetapkan anggaran sukatan timbangan bagi setiap jenis sayur yang dijual sebanyak 200 gram dalam seikat atau seplastik.

    Memperkasa keusahawanan menerusi ‘Ristaan Abadi’

    Pada 14 Oktober lalu, Dayang Nursabrina mula menjalankan gerai sayur mereka secara rasmi di bawah Perusahaan Nur Al-Hadi Isteri dan Anak dengan bantuan daripada suami dari segi buah fikiran dan kudrat tenaga suami seadanya.

    Menurut Dayang Nursabrina, sudah menjadi rutin harian, mereka akan pergi membeli sayur-sayuran seawal 4 pagi menerusi pembelian borong dari salah seorang pengusaha kebun di Kampung Masin dan juga berkunjung di Pasar Selayun, Sengkurong. Mereka kembali ke rumah sekitar jam 7:15 pagi hingga 8 pagi sebelum sayur-sayuran berkenaan dibungkus mengikuti timbangan tertentu dan disusun rapi di atas meja untuk dijual semula kepada masyarakat kampung yang berdekatan.

    Antara sayur-sayuran yang dijual ialah sawi, timun dan kacang panjang selain itu turut dijual ialah tahai kering dan udang kering. Kebiasaannya mereka akan menetapkan anggaran sukatan timbangan bagi setiap jenis sayur yang dijual sebanyak 200 gram dalam seikat atau seplastik. Dayang Nursabrina yang juga merupakan salah seorang ahli yang aktif menyertai Kelab Wanita Bolkiah sebagai salah satu program yang berlangsung di Pusat Pembangunan Masyarakat Kampung Bolkiah merupakan projek yang diasaskan oleh Projek Big BWN di bawah inisiatif perusahaan sosial Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) iaitu ‘Ristaan Abadi’.

    Menurutnya, dengan adanya kemudahan inisiatif tulus berkenaan, ia dijadikan sebagai platform bagi menggalakkan dirinya serta para penduduk kampung yang lain untuk membangunkan, meningkatkan serta memperkasakan lagi keupayaan sosioekonomi mereka melalui pelbagai kaedah termasuk latihan keusahawanan, keagamaan, pendidikan teknikal, vokasional dan adat kebudayaan.

    Sokongan masyarakat setempat

    Berbicara mengenai sambutan yang diterima sepanjang meniti pengalaman menjual sayur-sayuran, Dayang Nursabrina bersyukur atas sokongan pelanggannya yang kebanyakkannya terdiri daripada para penduduk kampung yang menetap berdekatan khususnya di Kampung Bolkiah A dan Kampung Bolkiah B serta juga dari Kampung Setia.

    “Alhamdulillah, sokongan mereka itu serba sedikit meringankan beban saya sekeluarga. Dalam pada itu, tiap-tiap hari, kebiasaannya selepas selesai sesi pembungkusan dan penyusunan sayur-sayuran di meja gerai, saya akan menangkap gambar jualan terlebih dahulu untuk dikongsi dalam platform media sosial WhatsApp terutama dalam lingkungan ahli kelab. Menerusi perkongsian itu secara tidak langsung, ia membantu mempromosikan jualan dari hari ke hari,” kongsinya lanjut.

    Menerusi penjualan sayur-sayuran ini, beliau bersama suami juga menawarkan perkhidmatan sampingan bagi menjualkan produk orang lain di gerai mereka dengan mengambil keuntungan 20 sen bagi setiap jualan yang berharga $1. Di samping itu, mereka juga mengetengahkan khidmat penghantaran ke rumah-rumah bagi para pelanggan yang kebiasaannya dibantu oleh anak beliau bersama anak buah mereka iaitu dengan mengenakan caj $1 bagi setiap penghantaran. Ia juga sekali gus mendidik mereka untuk berdikari demi mencari rezeki bersama dan mengisi masa lapang dengan kerja bermanfaat.

    Cabaran dan harapan

    Dayang Nursabrina dan suami mengakui menghadapi pelbagai cabaran-cabaran semasa meniti penjualan berasaskan produk sayur-sayuran. Antaranya mengalami kerugian apabila sayur-sayuran menjadi cepat layu, lebih-lebih lagi mereka belum mampu untuk memiliki kemudahan peti sejuk khas pada masa kini. Selain itu, gangguan binatang liar seperti monyet mengganggu hasil jualan di atas meja.

    “Menjadi harapan besar kami sekiranya suatu hari nanti mampu memperbaiki pagar yang telah roboh di luar kediaman dan juga membesarkan kawasan gerai jualan dengan sebaik-baiknya untuk keselamatan dan keselesaan bersama. Kami juga berusaha untuk mengembangkan produk-produk jualan dari semasa ke semasa ke arah memajukan perniagaan supaya kami dapat menyara kehidupan harian ahli keluarga dengan lebih baik lagi,” ujarnya dengan nada penuh ketulusan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...